Tuesday, July 28, 2009

KERJA


Selama dua minggu yang lepas, penulis telah selamat menjalani latihan elektif di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Ia memberikan suatu pengalaman yang amat bermakna buat penulis. Pengalaman berada di Pusat Kemahiran Klinikal, menyertai kuliyah bersama-sama pelajar HUSM, mengikuti kumpulan-kumpulan doktor pakar dan pelatih, serta mendengar perbincangan mereka telah mendedahkan penulis kepada kehidupan mereka yang bergelar doktor di Malaysia. Walaupun ia mungkin hanya beberapa peratus daripada diari mereka yang sebenar, namun ia cukup untuk dijadikan 'outline' kepada jadual masa depan. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dipelajari jika benar-benar mahukan kerjaya yang 'memakan' diri ini.

Sekalung penghargaan penulis ucapkan kepada koodinator kami, Dr. Ahmad Fuad (Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan HUSM), yang telah banyak membantu dan memudahkan proses pembelajaran kami sepanjang tempoh elektif. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada Dr. Siti Kamariah dan Dr. Sham yang sudi melayan kerenah kami yang banyak 'tidak tahu' dari tahu ini.

Pengalaman


"Bismillahirrahmaanirrahiim" lafaz penulis ketika membantu seorang pesakit wanita menyuakan gelas air bagi menghilangkan perit ditekak. Dia meneguk air dengan perlahan-lahan. Setelah itu, dia kembali membaringkan diri diatas katil sambil mengurut dadanya bagi menahan sakit batuk yang berterusan. Kelihatan begitu sukar pergerakannya. Penulis meletakkan lengan dibelakangnya bagi menahan dan memudahkan gerakan.


"Terima kasih nak. Makcik terlupa menyebut Bismillah sebelum minum tadi gara-gara sakit yang makcik rasa. Mujur doktor tolong bacakan. Sepatutnya makcik yang baca, bukan doktor. Terima kasih doktor. Berkat hidup doktor. Moga Allah sentiasa bersama dengan doktor"

Ameen, jawab penulis didalam hati sambil menghadiahkan senyuman sebagai respon menghargai doanya.

"Terima kasih kerana mendoakan saya, makcik. Saya pun kadangkala terlupa juga. Kita ni banyak lupa pada Allah dari ingat, ada juga yang lupa terus. Lagi rugi. Tapi Allah tidak pernah lupakan hamba-hambaNya. Alhamdulillah makcik cepat sedar kesilapan tadi. Kita sama-sama makhluk Allah yang tidak punya apa-apa melainkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Moga kita dapat teruskan amalan 'kecil' ini dan semoga Allah mengampunkan dosa kita semua".

"Ya, betul tu", pesakit itu mengiyakan kata itu.

Penulis membongkokkan sedikit badan sambil memegang tangan pesakit itu. Dalam prosidur perubatan, memegang tangan pesakit adalah satu aspek penting yang perlu dititik beratkan sebelum memulakan pemeriksaan. Walaupun sentuhan (palpation) adalah sebahagian daripada komponen dalam pemeriksaan fizikal bagi mengesan sebarang simptom penyakit, ia juga memberikan impak yang besar kepada psikologi pesakit. Ia mampu meredakan tekanan kesakitan yang ditanggung mereka.

Kisah diatas adalah sebahagian daripada pengalaman penulis ketika membawa title doktor (belum sah) di Wad 7 Selatan di HUSM. Alhamdulillah, penulis sempat 'menyelit' dalam ruang masa yang sekejap itu. Pertama kali dapat menghidupkan peluang untuk 'menyampai'kan sesuatu ketika bersama pesakit. Memang benar seperti yang sering diperkatakan. Kerjaya ini mempunyai peluang yang cerah dalam mengajak manusia dekat kepada Pencipta sekelian makhluk.

Ibadah Kerja

Bercerita tentang kerjaya ini, penulis teringat hal berkaitannya pernah dibincang ketika sembang-sembang bersama seorang junior yang datang berziarah.

"Kenapa akak kata kerja sebagai doktor tu ibadah? sebab kita boleh berdakwah kepada pesakit?" soalan tiba-tiba diajukan selepas penulis selesai bercerita mengenai artikel "Kenapa Mahu Jadi Doktor?" tulisan Ustaz Hasrizal.

"Bukan akak yang cakap, Allah yang beritahu. Dalam Al-Quran disebut,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
[Adz-Dzariyat 51:56]

Kita kena jelas. Tujuan penciptaan kita dan hidup kita itu sendiri keseluruhannya adalah suatu ibadah kepada Allah. Oleh sebab kerja juga sebahagian dari kehidupan kita, maka kerja juga dianggap ibadah. Kerja sebagai doktor hanya contoh, memandangkan kita berdua berada dalam bidang ini. Kerja sebagai guru ibadah, petani ibadah, polis ibadah, peniaga ibadah. Malah tukang masak juga ibadah. Itu kerja yang kita nampak besar. Kerja-kerja seperti makan, minum, belajar, tidur bercakap dan segala macam lagi juga ibadah", penulis menjawab ringkas.

"Ibadah tu sendiri macam mana sebenarnya kak?" soalan lain dilontar.

"Kita tidak boleh sempitkan makna ibadah kita hanya pada amalan-amalan yang kita sebut sebagai rukun islam, atau amalan yang kita label sebagai 'kerja amal' atau apabila terlibat dengan kerja da'wah. Jika begitulah yang ditafsirkan sebagai ibadah, tidak sempurnalah matlamat hidup kita iaitu untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah sebab berapa banyaklah masa yang kita berjaya peruntukkan untuk melakukan semua itu? Sedangkan kita manusia yang perlu makan, belajar, rehat, cari duit, untuk teruskan hidup.


Kita beruntung kerana hidup dengan nikmat sebagai seorang muslim. Hanya dalam islam wujud amal yang kita sebut sebagai IBADAH. Kita percaya ada Allah yang menilai amal buat kita, kita yakin ada malaikat yang mencatit amal gerak kita sebagai bukti dihari perhintungan esok dan kita beriman ada syurga dan neraka sebagai balasan baik buruk amalan kita.

Kita cuma perlu letakkan dalam hati, syarat untuk melayakkan setiap pergerakan kita menjadi ibadah padaNya ada tiga yakni keimanan kepada Allah, niat ikhlas keranaNya dan amalan itu baik dan kena dengan syariatNya. Jadi, tidak perlu hadkan ibadah dari hidup kita.

Kesimpulannya, melakukan segala suruhan Allah itu ibadah, dan melakukan laranganNya itu dosa, namun meninggalkan larangan itu akan juga menjadi ibadah", penulis menggulung jawapan.

Sampaikan Walau Sepotong Ayat

"Bagaimana pula dengan peluang berdakwah ketika bekerja seperti yang akak cakap tu? Saya tidak pandai berda'wah" junior meneruskan sesi soal jawab.

"Apa sunnah Rasulullah yang tidak pernah awak tinggal selama yang awak ingat?" Giliran penulis mengajukan soalan.

"Baca Bismillah" jawabnya sambil tersenyum lebar.

"Nah!.. Kan Rasulullah (s.a.w) dah cakap, Ballighuu 'annii walau aayah, sampaikanlah dariku walau sepotong ayat. Ingatkan pesakit untuk membaca Bismillah sebelum melakukan sebarang perbuatan sudah cukup membawa kesan yang besar dalam hidup mereka. Itu juga da'wah tau", penulis meninggalkan saranan itu bagi mengakhiri perbualan. Moga dia dapat berfikir dengannya.

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sesama mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
[Ali-'Imran 3:191]

Kerja Modal Akhirat

Bila Allah bertitah kepada seluruh hambanya supaya berlumba-lumba melakukan amal soleh di dunia dengan sebanyak-banyaknya, pasti ganjarannya tersangat istimewa dan bukan sedikit.

Dalam Surah An-Nahl (16:97) Allah Taala menyebut:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

Lihatlah kepada mereka yang telah pergi meninggalkan dunia ini, dari dulu hingga sekarang. Adakah harta kekayaan, pangkat, sijil atau nama yang dibawa mereka? Tidak bukan? Rasulullah s.a.w. sendiri memberi jaminan bahawa hanya tiga perkara yang laku dalam jual beli akhirat kelak; amal soleh, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.

Tidakkah kita semua berasa rugi jika penat lelah kita berkerja, hanya dapat memenuhkan kocek dunia, tetapi buku akaun Bank Akhirat masih dengan catatan 0 Pahala. Sedangkan, hanya matawang Pahala yang diterimapakai Allah di akhirat kelak. Sepatutnya ia boleh menjadi Kerja 2 dalam 1. Betulkan niat kita, kumpul modal akhirat dari sekarang.

Mari kita koreksi diri.

1 comment:

  1. salam alaik

    tahniah kak ma, tulisan kali ini amat menyentuhhati ana sebagai salah seorang dari beratus2 pembaca yang mengunjungi blog ini, moga kak ma terus istiqomah dalam bidang yang penuh cabaran ini...

    wassalam

    ReplyDelete