Wednesday, July 1, 2009
DEDIKASI PENULIS: KALIAN TEMAN, KALIAN SAHABAT
Semester dua bagi sesi 2008/2009 baru sahaja berakhir semalam. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan penulis ketika ini. Hanya senyuman yang dapat dizahirkan bagi menerangkan rasa syukur, gembira, lega dan puas hati. Segalanya berlalu dengan penuh makna. Walaupun tidak sesempurna yang diharapkan, tetapi sudah cukup memuaskan hati. Alhamdulillah 'ala kulli haal.
Mungkin sudah agak terlambat bagi penulis mengucapkan ucapan tahniah buat sahabat-sahabat pelajar perubatan tahun akhir di Volgograd State Medical University. Dengan rasminya, kalian sudah berjaya memegang title DOKTOR. Meskipun ucapan melalui kata-kata sudah berkali-kali diucapkan, namun rasanya masih belum cukup untuk menggambarkan betapa penulis menghargai ikatan ukhuwah yang telah terjalin.
Oleh itu, entry kali ini adalah dedikasi khas buat teman-teman suka-tawa-sedih penulis dibumi bekas komunis ini.
JALINAN UKHWAH INI
Sudah tiga tahun penulis merantau di Volgograd demi tuntutan ilmu. Tidak dinafikan, kerana jumlah bilangan pelajar yang tidak berapa ramai (anggaran 300 orang pelajar) menyebabkan hubungan yang terjalin antara kami agak rapat. Namun jika tiada sikap saling saling hormat-menghormati dan bertolak-ansur, jalinan baik tidak mampu bertaut. Senior-senior boleh berkongsi gelas dengan junior-junior mereka. Melayu, Cina dan India saling berkawan.
itu sikap-sikap yang ada dikalangan mereka. Protektif dan amat mengambil berat pada adik-adik yang lebih junior.
Menjadi penghuni tingkat 5 1/2 (setengah) bersama sebahagian dari mereka mencipta kenangan yang tersendiri. Daripada 20 penghuni, sebelas orang adalah mereka. Bangga untuk penulis senaraikan nama mereka satu persatu; Husna, Zana, Mazidah, Nurul, Naim, Sha, Izat, Rita, Tiqah, Anis, dan Nadrah.
Suara-suara mereka banyak menceriakan suasana. Didapur, gegak berbual sambil masak. Sebelum solat setiap waktu, suara mereka yang kedengaran dahulu memanggil ahli jemaah solat. Begitu juga ketika Mummy, Usrah, Kuliyah Ahad dan apa-apa program berlansung, mereka sentiasa ada memberikan sokongan. Tidak jemu mengajak adik-adik untuk turut serta.
Terima kasih kerana menghidupkan bi'ah solehah itu.
PESANAN DAN DOA
Tiada hadiah yang istimewa mampu penulis berikan sebagai tanda kasih. Hanya beberapa pesanan untuk kalian sebagai tanda tulus ingatan. Ia mungkin perkara sama yang biasa dan sering diperkatakan dalam tiap kali tazkirah, namun ia masih perlu diulang sebut kerana perkara biasa disebut inilah yang sering dilupakan. Jika luntur aspek yang sering dianggap kecil ini, lunturlah iman yang pernah diwarna cantik.
Pertama soal pakaian. Jagalah hal menutup aurat. Jika selama ini kalian telah berjaya membuang tabiat berpakaian yang tidak sempurna (ketat, singkat, nipis etc) dan memilih untuk menutup aurat yang betul, maka teruskanlah nilai murni itu. Jika memerlukan perubahan, maka berubahlah tanpa meminggirkan batas-batasnya walau sedikit pun. Allah pasti akan terus menjaga dan mengangkat kemuliaan itu.
Kedua soal muamalat dan pergaulan. Perhatikan soal ini juga. Kalian pernah saling berpesan-pesan untuk tidak bebas bergaul dengan yang berlainan. Malah ada dikalangan kalian nekad untuk memutuskan talian yang tidak sah kerana sedar akan dosa ini. Memasuki alam pekerjaan mungkin menemukan kalian dengan pelbagai ragam manusia, tiada kawalan tiada segan silu bertempuh bahu, maka teruskan kalian dengan sikap menjaga hal ini. Moga kalian ditemukan dengan pasangan mulia juga sifatnya dan mampu membawa mawaddah wa rahmah dalam rumahtangga.
Pesanan lain berkaitan solat (terutamanya solat fardhu). Penulis masih rasa kagum dengan kalian. Sentiasa solat berjemaah diawal waktu. Justeru itu, bilamana memasuki alam kerjaya yang maha sibuk, cubalah sedaya upaya menjaga solat diawal waktu. Lebih elok untuk teruskan sikap suka solat berjemaah. Moga hidup kalian terus diberkati.
Pesanan terakhir, penulis tahu kalian memang sukakan ilmu berkaitan agama dan penyempurnaan pencarian diri menujuNya. Ia adalah sikap yang terlalu mulia. Teruskanlah mencari mutiara-mutiara ilmu. Walau sesibuk manapun kalian, luangkan masa untuk mengisi makanan rohani itu kerana itulah bekal untuk kalian terus kekal istiqamah dengan sifat yang diredhai Allah Taala.
Kerana nilai mahabbah ini, doa penulis sentiasa bersama kalian. Diri ini sentiasa senang untuk kalian. Teruskan perjuangan dalam kembara hidup ini. Moga redha Allah sentiasa mengiringi. Doa Rabithoh pengikat ukhuwah ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment