Tuesday, November 17, 2009

CHERITA CHINTA 2

Penulis ingin menyambung Cherita Chinta sebelum ini.

Ada seorang sahabat berkata kepada penulis, jangan terlalu menyintai diri sendiri. Nanti makan diri. Cinta diri sendiri melahirkan sifat pentingkan diri sendiri katanya.

Iya. Penulis setuju dan berlapang dada dengan pendapatnya. Dalam apa-apa kontek sekalipun, jika salah menggunakan cinta, ia tetap mengundang musibah.


Mari Cintai Diri Sendiri

Ketika di Maahad dahulu, antara subjek yang paling penulis gemari adalah Akhlak. Dalam pelajaran itu, penulis pernah diajar untuk menunaikan hak diri.

Apa hak diri?

Cinta pada diri sendiri.

Pernah dengar istilah Narsisme?

Narsisme adalah satu ideologi tentang perasaan cinta terhadap diri sendiri. Ia pertama kali diperkenalkan oleh Sigmund Freud, seorang tokoh falsafah yang terkenal dengan teori psikoanalisisnya.

Dalam mitos Yunani terdapat seorang pemuda bernama Narcisuss yang jatuh cinta pada bayangan dirinya yang terpantul di permukaan sebuah kolam. Dia terlalu kagum dengan dirinya sendiri sehingga akhirnya jatuh kedalam kolam kerana terlalu asyik dengan bayangan sendiri.

Itu contoh kisah cinta seorang pemuda pada dirinya dengan pengakhiran yang sangat merugikan.

Betul. Kita seharunya bimbang dengan pengakhiran hidup kita, tetapi bukan pengakhiran seperti Narcisuss yang kita mahu.

Penulis tidak bermaksud mengajak sahabat pembaca menyintai diri sendiri sampai kepada tahap memuja diri sendiri. Terpegun pada diri sendiri.

Itu 'ujub namanya.

Semaikan Cinta dengan Kebajikan

Bentuk cinta pada diri sendiri adalah dengan menanamkan kebaikan dalam diri sendiri, berlatih untuk yakin pada ajaran islam, bersemangat, bijaksana, murah hati, rendah diri, benci kepada kemaksiatan (derhaka) kepada Allah.

Dengan kata lain, adil dan tidak berlaku zalim pada diri sendiri.

Banyak kisah didalam Al-Quran, Allah menceritakan kembali kepada kita semua bagaimana pengakuan orang-orang yang telah dihitung amalannya oleh Allah. Itu semua adalah peringatan kepada kita yang masih hidup. Yang masih dapat merasai nikmat sihat dan nikmat lapang yang Allah berikan. Penulis bawakan satu contoh:

Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata:
"Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim".
[Al-A'raf:005]


Pada pandangan penulis, menjaga kebajikan diri adalah tanda cinta manusia kepada dirinya sendiri.

Anda cinta pada ibu anda, jadi anda zalim jika membiarkan ibu anda dibakar api. Maka, adakah anda sanggup membiarkan jiwa anda jauh dari Tuhannya, dan dicampak ke neraka jahannam.

Adilkah begitu?

Didiklah Hati

Cinta kepada diri sendiri bukanlah suatu sikap yang egoistik. Ia bukan pemuas kepada nafsu bagi memenuhi kehendak diri sendiri dan merampas kebahagiaan orang lain.

Cinta kepada diri sendiri adalah sikap logik akal yang harus untuk memenuhi keperluan diri. Siapa yang mampu mengembirakan anda jika bukan anda sendiri.

Anda berasa gembira kerana dicintai seseorang. Pokoknya, anda gembira kerana anda mahu menerima cinta orang itu. Jika orang yang sama memberikan berganda-ganda cintanya, tetapi anda tidak mahu menerima cintanya, adakah anda boleh berasa gembira dicintai orang itu? Pelikkan?

Kepada sesiapa yang didalam dirinya masih ragu-ragu dengan erti kata taubat, berusahalah mendidik hati. Mulakan dengan hati yang bulat dan yakin denga sifat Allah Al-Ghafur, Ar-Rahman dan Ar-Rahim (Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang).

Anda tidak perlu berubah sekali gus dalam sekelip mata. Berilah ruang kepada hati anda untuk mengenal Tuhan Pencipta, seterusnya tuntunlah ia mencipta perubahan.

Jangan jadi seperti orang zalim yang telah dimatikan, tetapi merayu kepada Allah untuk dihidupkan semula supaya boleh kembali ke dunia untuk berbuat amal kebajikan. Itu penyesalan yang tiada gunanya. Perhatikan ayat ini:

Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari Neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat),
maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.
[Al-Mu'minun : 107]


Anda kenal diri anda. Anda pujuklah hati anda itu.

Berita Gembira sebagai Balasan Cinta

Sebelum menutup kisah cinta ini, penulis ingin bawakan khabar gembira daripada Allah, Tuhan kita semua:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
[Fusshilat:30]


Mari hiburkan hati yang kita cintai itu dengan alunan ini

video

Semoga kita memperoleh ketenangan hakiki.

Sunday, November 15, 2009

CHERITA CHINTA

Sekadar ingin menulis bacaan ringan sebenarnya.

C.h.i.n.t.a... Tiru ejaan ayah penulis dizaman beliau muda remaja dulu. era 50-an, 60-an. Kalau dibaca mengikut cara ejaan begini, kedengaran menarik juga.

Betul tak? Hmm.. apa-apa lah.

Chinta itu Cinta lah.

Kenapa kali ini pasal cinta?

Entah.. Begitu teringin untuk menulis berkaitan cinta.

Mungkin sebab terlalu banyak menelan bahan berkaitan cinta. Sebelum ini penulis baru sahaja menghabiskan buku 'Kisah Cinta Dalam Al-Quran', tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Semalam pula kami beramai-ramai menonton filem 'Ketika Cinta bertasbih'. Kisah yang difilemkan dari novel cinta karya Habiburrahman Al-Syirazi. Lagi pula, akhir-akhir ini sering dihujani dengan artikel-artikel tentang cinta.

Begitulah.

Jadi, ada baiknya penulis muhasabah kembali dimana duduknya rasa cinta ini. Penulis ingin mengajak sahabat pembaca muhasabah bersama-sama.

Siapa sedang bercinta sekarang ini? Cinta pada siapa?

Jika pada Allah 'Azza wajalla. Subahanallah. Itu nikmat cinta teragung yang memang harus dimiliki.
Jika pada Rasulullah. Bermakna hampir sempurnalah iman.
Jika pada ibu ayah, ahli keluarga, dan sahabat-sahabat sekeliling, ini menunjukkan anda bijak mensyukuri anugerah Allah.
Jika pada suami atau isteri, penulis kira anda adalah pasangan yang paling ideal yang bahagia kerana telah diikat oleh mawaddah dan rahmah Allah.

Betapa besar ganjaran pahala disisi Tuhan kita jika memiliki cinta-cinta ini.

Kata Azzam kepada Eliana, "jika bukan yang halal bagiku, itu bala namanya.. ". Naaah.

Kata Bapak Hamka pula, "Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat."

Betul lah. Mereka semua adalah sumber kekuatan, kesempurnaan kepada fitrah cinta manusia.

penulis ingin bertanya lagi anda semua. mungkin anda terlupa pada seorang lagi yang harus juga anda berikan cinta.

Siapa?

Diri anda sendiri.

Bagaimana anda mencintai diri sendiri?

Jangan tanya penulis. Hanya anda yang mampu menjawabnya.

Penulis hanya ingin beri clue. Mungkin ia membantu anda mencari jawapan yang sebenarnya.

Katakan pada diri anda, "Aku bimbang, bagaimana pengakhiran aku nanti?"

Berikanlah cinta anda pada diri.

Sebagai renungan,

وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِنَ الأمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الإيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ

"Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus."
[Al-Hujurat : 007]

Wednesday, November 4, 2009

MAHU YANG BAGAIMANA?

Memilih warna kehidupan...

Semua orang mahu yang baik. Tiada siapa minta diberikan yang buruk, dan jika boleh mahu yang 'terbaik'. Penulis juga begitu, sebolehnya mahu yang elok-elok sahaja.

Ada sesiapa yang tidak bersetuju dengan pernyataan ini?

Baiklah, tentu sahabat pembaca pernah mendengar atau membaca kisah Nabi Musa a.s. ketika masih kecil. Fir'aun telah menguji tahap kebijaksanaan Nabi Musa dengan meletakkan dua biji mangkuk yang satunya berisi permata dan satu lagi bara api. Jika Nabi Musa memilih permata, bermakna baginda bijak dan bakal memberi ancaman kepada kedudukan Si Zhalim itu. Jika sebalik, maka Fir'aun akan terselamat dari bala yang diberitakan.

Diriwayatkan, baginda asalnya memilih batu permata, tetapi Allah mengarahkan malaikat jibril mengalihkan tangan baginda kearah mangkuk berisi bara api. Akhirnya, baginda terambil bara dan meletakkannya didalam mulut mengakibatkan lidah baginda terbakar dan menyukarkan baginda berkata-kata.

Melalui kisah ini, penulis ingin membawakan contoh fitrah manusia yang berakal sememangnya inginkan yang cantik, yang sempurna. Walaupun masih kecil dan belum pandai berfikir, mereka tetap tertarik pada perkara yang menyenangkan mereka. Hanya mereka yang bodoh sahaja menolak kebaikan.

Mari kita bincang lagi tajuk ini.

Destinasi akhir

Jika sahabat pembaca diberi pilihan antara tinggal di dalam gua yang kelam atau di istana yang indah bergemerlapan, yang mana satu menjadi pilihan? Penulis yakin yang nombor dua akan jadi pilihan.

Siapa mahu hidup didalam gua yang gelap dan bahaya itu? Banyak binatang buas dan sangat tidak selesa. Lain dengan istana. Selamat malah mendapat layanan istimewa. Lebih hebat jika dapat bersua muka dengan raja yang menganugerahkan hidup seumpama itu.

Sekarang mari kita renungkan pengakhiran hidup kita ini. Manusia diberi pilihan oleh Allah Ta'ala untuk memilih tempat tinggal selepas dihidupkan kembali diakhirat kelak.

Mahu syurga atau neraka. Ada dua pilihan sahaja.

Ramai manusia mendambakan syurga kerana keindahan yang tidak tergambar oleh mata. Keajaiban yang diceritakan oleh Allah dan Rasul tidak dapat dibayang oleh akal manusia. Hanya dengan memasukinya sahaja impian untuk bertemu Tuhan Al-Wadud akan tercapai dan boleh berada disamping Rasulullah tercinta. Penulis rasa sahabat-sahabat juga impikan yang sama.

Jadi bagaimana??

Fikirkan pilihan

Pernahkah kita berfikir, Allah suka orang yang bagaimana? Allah benci orang yang bagaimana?

Mampukah kita menanggung seksa kubur? tahankan kita dengan seksa api neraka? kita tidak akan dimatikan lagi diakhirat esok. Jadi azab itu tidak akan berhenti selama mana menjadi ahli nereka jahannam.

cuba renungkan kita hari ini bagaimana? solat kita, ibadah kita, hati dalaman kita, akhlak kita?

Bukankan kita mahu yang terbaik? jika begitu, kita juga harus jadi yang terbaik.

Jika kita teliti kalam Allah, kita akan ketemu dengan banyak ayat yang menceritakan golongan yang layak memilki syurgaNya. Kesimpulannya hanya mereka yang bertaqwa dan mendapat rahmatNya Allah sahaja yang layak.

Firman Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.
[Ali Imran : 015]

Adakah kita layak menghuni syurga Allah? Ya. Allah tidak menetapkan koata berapa ramai dikalangan hambaNya yang boleh masuk syurga. Hanya iman yang melayakkan kita terpilih atau tidak. Semua orang boleh berusaha untuk meraih iman dan taqwa. Jadi, kita semua layak memiliki syurga.

Maka penulis ulang sekali lagi, jika mahu yang baik, kita harus cuba jadi yang terbaik. Terbaik dalam penilaian Allah adalah keimanan dan ketaqwaan. Iman dan taqwa itulah yang mempengaruhi peribadi seseorang.

Bina hati yang baik

Adakah betul penilaian seorang doktor yang hebat bergantung kepada cara dia menggantung stethoscope dilehernya? atau dilihat dari cara jalannya? tidak bukan...

Salah jika manusia mula bentuk peribadi dengan perkara yang luaran dahulu. Ada manusia mengubah cara perwatakannya yang keras kerana merasakan watak lembut itu lebih 'solehah'. Ada yang sanggup memakai kopiah sepanjang masa supaya orang melihatnya 'soleh'.

Rasulullah s.a.w menyatakan dalam diri manusia ada seketul daging. jika ia baik, maka baiklah seluruhnya. Dan jika buruk maka rosak, rosaklah seluruhnya, iaitulah hati.

Peribadi mulia bermula dari hati yang bersih.

Mungkin kita biasa mendengar kata-kata dari tabi'en, “ Iman itu bukan hanya dengan angan-angan, dengan kata-kata, tetapi apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amal”

Marilah kita mula serius memikirkan masa depan. Kita bukan hanya inginkan kesenangan didunia, tetapi juga akhirat.

Jika hati sakit, rawatlah ia dengan segera. Jika hati sudah baik, peliharalah ia sebaiknya.

Kita mahukan peribadi yang menjamin kehidupan kita selamanya.

Wednesday, October 14, 2009

SEMBANG BERISI: SINEMA

"Salam. Sibuk ke?"

"Salam. Tak sibuk lah.. hehe"

"Habis tu, kenapa status asyik busy saja?"

"Status macam tu tanda malas melayan tapi mahu berteman.."

"Hihi... macam-macam.."

"Hang macam tak kenal aku.. hihi.."

"Hang tengah cycle apa sekarang ni?"

"insyaAllah esok mula cycle baru. Cycle untuk Medical Genetic. Lima hari sahaja cycle ni"

"Ooo.. Aku kena jadi babysitter ni. Mentang-mentang lah aku tengah cuti semester sekarang. Ni ada dua orang anak saudara aku kena jaga. Tak tahu nak buat apa.."

"Ooo.. patut la. Ajak lah pergi joging ke.. siram pokok bunga ke.. hang kan suka buat semua tu.."

"Kureng kau.."

"Hihi..."

"Hmm.. aku nak tanya sikit. Apa pendapat hang tentang tengok wayang? contohnya, tengok wayang tapi cerita kartun..."

"Pada pendapat aku, tidak ada masalah nak tengok wayang. Aku ambil pendapat Dr Yusuf Qardhawi. Beliau tidak memfatwakan ia sebagai haram dan tidak melarang orang menonton wayang. Tetapi beliau ada menyatakan syarat yang perlu ada untuk membolehkan orang ramai pergi ke panggung seperti isi tayangan tidak menyalahi Aqidah, Syariat dan Akhlaq. Tiada unsur seks, keganasan, korupsi, atau penonton mengalami tekanan perasaan.

Selain itu, bila pergi panggung, jangan asyik sehingga melengah atau menghalang kita dari menunaikan solat fardhu lima waktu. Jangan lupa, dipanggung juga mestilah tiada percampuran diantara lelaki dan juga perempuan."

"jika panggung tu kena dengan syarat, boleh pergi lah kan?"

"begitulah. ikut syarat, boleh. Jika tidak ikut syarat yang Allah cakap, jadi haramlah. Tapi boleh dapatkah panggung yang memenuhi syarat seperti yang Dr. Yusuf Qardhawi cakap tu?"

"Betul. Memang tidak ada sekarang ni. Tidak ada peluanglah aku.. Hmm.. Aku dengar dinegeri hang, semua panggung tempat duduk lelaki, perempuan dan mereka yang berkeluarga disyaratkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk diasingkan. Keadaan dalam panggung juga harus cerah. Jadi, hang pergi tonton wayang tak?"

"Tidak"

"Kenapa?"

"Sebab Allah larang kita dari membazir. Hang tahu tidak, pergi panggung tu betul-betul membazirkan duit dan masa? Berganda-ganda membazir jika banding dengan tengok filem dirumah"

"Cakap sahaja yang hang kedekut.."

"Hai.. Rasulullah sendiri cakap orang perempuan kena ada sifat kedekut dan orang lelaki kena ada sifat boros.. baru aman rumahtangga. "

"Hihi.. Ada saja tips hang... Baiklah, apa pula pendapat hang jika pergi panggung dengan keluarga sahaja. Seperti yang aku cakap tadi, tengok cerita kartun saja? Boleh eratkan hubungan antara ibu ayah dengan anak-anak.."

"Asal hukum, bagi aku tiada masalah. Bagus jika ibu ayah sanggup meluangkan masa bersama anak-anak. Tetapi aku tidak berapa setuju jika bawa anak-anak kecil ke panggung wayang walaupun hanya menonton sebuah cerita kartun. Mungkin kita nampak baik tetapi bila berada dipanggung, lebih banyak yang tidak elok dari yang elok. Percampuran lelaki dan perempuan, buang masa, buang duit.

Cuba kita fikir-fikirkan. Masa kecil, kita boleh jaga anak-anak ni. Bila sudah besar, mereka pasti akan kesana sendiri tanpa perlu ibu ayah temankan. Walaupun kita cuma bawa 'sekali' sahaja, tapi sebab sekali itu juga dikatakan 'pernah', maka anak-anak ini akan anggap 'tidak mengapa' dan anggap ibu ayah 'tidak kisah' kalau mereka pergi lagi.

Jadi, bagi aku, janganlah kita bawa anak-anak kecil ini ke tempat-tempat yang sia-sia atau 'biasa'kan mereka dengan perkara yang memamg tiada 'pulangan' untuk mereka bila besar nanti"

"Okey.. Betul juga"

"Haa.. Hang faham ke tidak apa yang aku terangkan tadi?"

"Iya.. Aku faham. Maksudnya, jangan bawa anak-anak kecil walaupun hanya untuk menonton cerita kartun"

"Laa.. Tak faham lagi la tu.. Maksud aku, semua sekali jangan pergi. Hang dan ahli keluarga hang.."

"Hahaha... Hang nak kenakan aku la tadi"

"Hihi.. Bukan nak kenakan hang, tapi nak bagi warning!"

"Baiklah Puan..."

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.

[Al-Maidah:105]

....ajak lah anak-anak kamu menonton panggung semulajadi ciptaan Allah Yang Maha Agung, sedarkan mereka bahawa mereka adalah watak-watak yang dicipta Allah. Panduan skrip sudah disediakan, terpulang mahu lakonkan yang bagaimana... Tayangan semula hanya boleh ditonton diakhirat kelak....

Monday, October 5, 2009

TERKORBAN DIPERANTAUAN


Penulis memandang sekeliling. Suasana sambutan hari raya di Dewan Hiroshima hari ini begitu meriah dengan gelak tawa ceria pelajar-pelajar Malaysia. Masing-masing mengembirakan hati sendiri, sekurang-kurangnya boleh mengubat rasa rindu pada keluarga yang teramat jauh dari mata. Diri ini juga cuba melakukan perkara yang sama.

Penulis melihat lagi kearah setiap wajah yang berada hampir dengan penulis. Meneliti dan berfikir lagi. Dalam usia yang sebegini muda, jasad-jasad ini telah ditaqdirkan oleh Allah untuk berada jauh dari tanah air. Jauh dan luar dari kawalan keluarga.

Maka, samada sedar atau tidak,mereka (kita) sebagai pelajar, sebenarnya sedang memegang satu tanggungjawab yang teramat besar, iaitu menentukan hala tuju hidup. Hidup dikedua-dua alam; Dunia dan Akhirat. Dalam tempoh enam tahun ini proses mencorak hidup berada ditangan sendiri. Mencabar bukan?

Berdikari atau Bebas

Ramai ibubapa yakin, melepaskan anak-anak pergi merantau jauh ke negeri orang akan dapat melatih mereka untuk hidup berdikari. Harapan mereka supaya anak-anak ini terus berjaya, pulang dengan kegemilangan. Sudah belajar di sekolah terbaik, sudah dapat keputusan yang cemerlang dalam akademik, masakan masih tidak pandai menguruskan diri sendiri? Hidup kena berdikari.

Kita sendiri sebagai anak bagaimana? Jika dirumah, walaupun masih ada demokrasi dan toleransi, namu ibu bapa masih mempunyai kuasa veto menentukan hala tuju seisi rumah. Lain halnya jika sudah berada di luar, mak ayah sudah jauh, adakah kita masih lagi mahu dibelenggu dengan sekatan-sekatan yang ibu bapa mereka tetapkan? Fikiran anda bagaimana?

Bagi penulis, peluang belajar jauh diluar negara sebenarnya memberikan kita kebebasan sepenuhnya. Betul atau tidak?

Bila sahaja melangkah ke balai perlepasan, bermakna ibu ayah sudah tidak ada kuasa keatas kita. Ya, nasihat boleh, tetapi samada mahu ikut atau tidak, bergantung pada diri kita sendiri. Kita sudah lepas. Bebas.

Cabaran

Pengalaman banyak mengajar penulis. Berada diluar negara selama hampir empat tahun telah membawa banyak peristiwa singgah dalam hidup penulis. Ada tauladan, ada sempadan.

Bercakap soal cabaran, ramai pelajar akan merungut kerana susahnya belajar, terpaksa bersaing dengan mereka yang jauh lebih hebat dari mereka, suasana yang tidak begitu kondusif untuk belajar, atau pun pensyarah-pensyarah tidak pandai mengajar. Itu semua adalah antara cabaran-cabaran yang terpaksa kita, pelajar-pelajar hadapi bagi memastikan kita tetap terus mengecap kejayaan dalam pelajaran.

Mungkin ramai yang tidak sedar, kita terlalu asyik menjaga soal kejayaan dalam pengajian sehingga lupa akan cabaran yang mengganggu-gugat keperibadian kita. Syakhsiah diri, akhlaq dan adab sopan yang dibentuk sedari kecil terhakis sedikit demi sedikit. Terkorban peribadi dan indentiti diri. Kita muslim khususnya.

Suasana sekeliling adalah antara cabaran yang harus dihadapi oleh semua pelajar. Mahu tidak mahu, kita harus berada di dalam suasana itu. Penulis tidak bimbang jika suasana itu suasana yang positif, ada bi'ah solehah seperti ditimur tengah yang kebanyakannya menjaga agama dan perilaku . Yang dibimbangi adalah suasana yang negatif. Tiada istilah dosa dan pahala. Tidak mengenal batasan halal dan haram dalam semua perkara. Pembawakan diri bergantung sepenuhnya pada diri pelajar itu sendiri. Samada berusaha melawan arus, atau sekadar bertahan, atau terus hanyut mengikut arus.

Sebagai langkah berjaga-jaga, cuba bandingkan diri kita sekarang dengan dengan diri kita pada ketika kali pertama kita melangkah keluar negara. Jika ada dikalangan pembaca adalah emak atau ayah, kakak atau abang, cuba lihat perbezaan anak atau adik kita yang dahulu dengan yang sekarang. Ada perbezaan?

Jika ketara yang tidak baiknya, maka kita kena mula ada rasa bimbang. Langkah yang bijak perlu diusahakan yang agar tidak ada perkara yang lebih besar akan terkorban.

Tetapkan matlamat yang benar dan jelas


Kerana cabaran, kerana kebebasan, kerana hilang panduan diri, ramai pelajar (kita) terkorban. Bukan nyawa yang hilang, tetapi jiwa, ruh, peribadi yang terkorban. Kita menjadi bukan kita.

Bagaimana cara untuk mengelak dari menjadi mangsa korban? Ada satu cara. Tetapkan matlamat.

Matlamat punya pengaruh yang amat besar. Kita cipta matlamat dan letakkan dalam otak minda fikiran kita supaya dapat mengawal setiap tindakan dan keputusan yang kita buat. Jika kita tersedar tindakan kita melencong sedikit dari matlamat, kita terus kembali ke jalan yang membawa kita sampai pada matlamat itu.

Kata Olga Victorovna, Pensyarah Neurology penulis, "otak manusia mampu menjadi penggera semulajadi. Tidak perlu kepada jam loceng yang hebat untuk mengejutkan manusia dari tidurnya. Jika dalam fikirannya sudah berazam mahu bangun pukul 4 pagi, maka tepat jam 4 pagi, dia akan sedar dari tidur dengan sendirinya". Subahanallah.

Anda sedar apa matlamat anda selama anda hidup ini? Penulis sudah punyainya.

Kenapa bila kita kata pada diri, "Aku mahu berjaya dengan dengan cemerlang pada peperiksaan kali ini!", kita akan senang hati berusaha melakukan yang terbaik dalam pelajaran? Kenapa setelah kita pasang niat untuk berjaya, kita tidak lagi bermalas-malasan untuk belajar? Hadir setiap kuliyah dan menghapuskan segala alasan yang menghalang niat kita. kenapa?

Kerana ketika itu kita ada matlamat. Kita jelas dengan matlamat itu. Mustahil kita boleh berjaya jika ulangkaji masih dalam keadaan malas-malas. Mustahil kita boleh cemerlang jika masih dengan alasan tiada masa untuk belajar. Kata pepatah melayu, "hendak seribu daya, tak nak seribu dalih". Ingat lagi?

Benarkan matlamat

Sekarang, kita ubah matlamat kita itu. Katakan, "Aku mahu jadi hamba Allah yang berjaya, bukan setakat didunia, bahkan diakhirat juga!".

Walau kemana sahaja kita merantau, dimana sahaja kita tercampak, yang dicari adalah redha Allah.

Kekalkan matlamat itu. Bergeraklah mengikut matlamat yang telah ditetapkan.

Kita bukan lagi mangsa kejahilan.

Allah tujuan kita. Allah jua yang melindungi kita.

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
[Al-Muzzammil:009]