Sejak memulakan aktiviti menulis di blog sendiri, banyak perkara baru telah dipelajari dan ditanam dalam diri. Alhamdulillah. Sebagai permulaan, mungkin kesannya terlalu sedikit sehingga tidak terkena tempias pada yang lain, namun cukuplah ia memberi nilai yang baik pada diri sendiri. Walau masih merangkak dalam arena penulisan, namun menulis sudah menjadi sebahagian dari diri ini. Bukan lagi untuk suka-suka.
Apa yang penulis pelajari dalam ilmu penulisan, penyampaian isi adalah tulang kekuatan pada sesebuah karya. Jangan sia-siakan masa yang telah dihabiskan untuk menulis berlalu tanpa sebarang ilmu untuk pembaca. Jangan buang masa pembaca dengan tulisan yang panjang lebar, tetapi tiada 'mutiara hikmah' untuk disimpan dihati pembaca. Oleh itu, penulis harus menilai dahulu tiap hasil tulisan itu sebelum dihidang kepada pembaca.
Walaubagaimanapun, untuk menyediakan isi tulisan yang baik, resepinya harus dilengkapkan dengan ilmu dan hikmah. Inilah yang penulis dapati, kesan positif yang terbina hasil dari persediaan diri untuk menyampaikan tulisan yang lebih baik.
Dahulukan membaca dari menulis
Hal ini pernah penulis sarankan pada diri sendiri ketika mula memasang niat untuk serius dalam menulis. Walaupun sekadar menulis diblog sendiri, tidak bermakna kita telah mendapat tiket untuk menulis sesuka hati tanpa pertimbangan ilmu sewajarnya. Membaca harus didahulukan lebih dari menulis. Membaca itu wajib, menulis itu harus. Kepentingan memperbanyakkan bahan bacaan dari ramai penulis yang sudah ada nama akan menambah lebih hikmah dan membuka cara pemikiran kita.
Penulis masih ingat, minat kepada menulis bermula setelah berada di matrikulasi apabila penulis diwajibkan menulis satu tesis kajian untuk tujuan akademik. Walaupun perit dirasakan kerana banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk menyiapkan tugasan yang pertama kali itu, namun rasa puas dan seronok mengatasi semua itu.
Tika itu, untuk menyempurnakan tesis mini yang hanya berjumlah 30 muka surat itu, penulis telah meneliti lebih dari lima puluh naskah buku, jurnal dan majalah, serta berulang-alik ke lima buah perpustakaan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bagi mencari bahan dan melengkapkan kajian. Mungkin bagi mereka yang biasa dengan hobi membaca atau sudah biasa menulis, semua itu bukan satu masalah besar. Tetapi pada penulis, ia satu tugas yang amat berat. Penulis amat baru untuk keadaan seperti itu kerana sewaktu usia persekolahan, hidup seharian penulis hanya bertemankan buku-buku teks sekolah. Menghabiskan silibus untuk peperiksaan saban tahun. Dan waktu lapang penulis adalah bersama dengan kalkulator dan masalah-masalah Algebra.
Untung juga, kerana minat kepada menulislah sikap suka membaca dapat dipupuk.
Manfaatkan pancaindera
Allah kurniakan mata untuk kita melihat keajaiban ciptaaNya, seterusnya berfikir akan kehebatanNya. Allah berikan telinga untuk kita mendengar ayat-ayatNya, seterusnya ingat akan setiap nasihat dan amaran yang terkandung dalam ayat-ayat itu. Allah anugerahkan mulut supaya kita ucap kata-kata yang baik, seterusnya berzikir dan bertahmid dengannya. Mungkin inilah hikmahnya menulis, tiap pancaindera yang Allah kurniakan akan lebih disyukuri dan dihargai.
Penulis kagum dengan kehebatan Ibnu Battuta yang telah mencatatkan setiap detik pengembaraan beliau sehingga diangkat menjadi bahan rujukan pengkaji-pengkaji sejarah. Ia adalah hasil dari kecerdikan beliau memanfaatkan seluruh pancaindera anugerah Allah Taala sepanjang perjalanan.
Begitulah adabnya, kita mesti lebih perhati dalam melihat. Rugi rasanya jika hal yang berlaku didepan mata tidak disimpan dan ambil ibrah darinya.
Begitu juga halnya ketika mengunakan telinga. Kita seharus lebih teliti dalam mendengar. Sia-sia jika apabila mendengar ilmu-ilmu yang disampaikan para 'alim ulamak tidak diteliti isinya dan tidak disampaikan kembali kepada orang lain.
Sumber ilmu hasil dari pemerhatian dan pendengaran harus di gunapakai bagi menambah mutu penghasilan karya yang baik.
Tulisan yang santai tetapi mampu me'rantai' hati pembaca itu lebih baik. Alang-alang menulis, biarlah tulisan itu menjadi modal akhirat kelak kerana setiap amal buat itu, ada nilai disisiNya.
قُلْ لَوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي
وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.
[Al-Kahf 18:109]
Tahniah dik!Alang-alang menulis,biarlah tulisan itu menjadi modal di akhirat sana...
ReplyDeleteHaza min fadhliRabbiy... terima kasih kak ummi.
ReplyDelete