Tuesday, November 17, 2009

CHERITA CHINTA 2

Penulis ingin menyambung Cherita Chinta sebelum ini.

Ada seorang sahabat berkata kepada penulis, jangan terlalu menyintai diri sendiri. Nanti makan diri. Cinta diri sendiri melahirkan sifat pentingkan diri sendiri katanya.

Iya. Penulis setuju dan berlapang dada dengan pendapatnya. Dalam apa-apa kontek sekalipun, jika salah menggunakan cinta, ia tetap mengundang musibah.


Mari Cintai Diri Sendiri

Ketika di Maahad dahulu, antara subjek yang paling penulis gemari adalah Akhlak. Dalam pelajaran itu, penulis pernah diajar untuk menunaikan hak diri.

Apa hak diri?

Cinta pada diri sendiri.

Pernah dengar istilah Narsisme?

Narsisme adalah satu ideologi tentang perasaan cinta terhadap diri sendiri. Ia pertama kali diperkenalkan oleh Sigmund Freud, seorang tokoh falsafah yang terkenal dengan teori psikoanalisisnya.

Dalam mitos Yunani terdapat seorang pemuda bernama Narcisuss yang jatuh cinta pada bayangan dirinya yang terpantul di permukaan sebuah kolam. Dia terlalu kagum dengan dirinya sendiri sehingga akhirnya jatuh kedalam kolam kerana terlalu asyik dengan bayangan sendiri.

Itu contoh kisah cinta seorang pemuda pada dirinya dengan pengakhiran yang sangat merugikan.

Betul. Kita seharunya bimbang dengan pengakhiran hidup kita, tetapi bukan pengakhiran seperti Narcisuss yang kita mahu.

Penulis tidak bermaksud mengajak sahabat pembaca menyintai diri sendiri sampai kepada tahap memuja diri sendiri. Terpegun pada diri sendiri.

Itu 'ujub namanya.

Semaikan Cinta dengan Kebajikan

Bentuk cinta pada diri sendiri adalah dengan menanamkan kebaikan dalam diri sendiri, berlatih untuk yakin pada ajaran islam, bersemangat, bijaksana, murah hati, rendah diri, benci kepada kemaksiatan (derhaka) kepada Allah.

Dengan kata lain, adil dan tidak berlaku zalim pada diri sendiri.

Banyak kisah didalam Al-Quran, Allah menceritakan kembali kepada kita semua bagaimana pengakuan orang-orang yang telah dihitung amalannya oleh Allah. Itu semua adalah peringatan kepada kita yang masih hidup. Yang masih dapat merasai nikmat sihat dan nikmat lapang yang Allah berikan. Penulis bawakan satu contoh:

Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata:
"Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim".
[Al-A'raf:005]


Pada pandangan penulis, menjaga kebajikan diri adalah tanda cinta manusia kepada dirinya sendiri.

Anda cinta pada ibu anda, jadi anda zalim jika membiarkan ibu anda dibakar api. Maka, adakah anda sanggup membiarkan jiwa anda jauh dari Tuhannya, dan dicampak ke neraka jahannam.

Adilkah begitu?

Didiklah Hati

Cinta kepada diri sendiri bukanlah suatu sikap yang egoistik. Ia bukan pemuas kepada nafsu bagi memenuhi kehendak diri sendiri dan merampas kebahagiaan orang lain.

Cinta kepada diri sendiri adalah sikap logik akal yang harus untuk memenuhi keperluan diri. Siapa yang mampu mengembirakan anda jika bukan anda sendiri.

Anda berasa gembira kerana dicintai seseorang. Pokoknya, anda gembira kerana anda mahu menerima cinta orang itu. Jika orang yang sama memberikan berganda-ganda cintanya, tetapi anda tidak mahu menerima cintanya, adakah anda boleh berasa gembira dicintai orang itu? Pelikkan?

Kepada sesiapa yang didalam dirinya masih ragu-ragu dengan erti kata taubat, berusahalah mendidik hati. Mulakan dengan hati yang bulat dan yakin denga sifat Allah Al-Ghafur, Ar-Rahman dan Ar-Rahim (Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang).

Anda tidak perlu berubah sekali gus dalam sekelip mata. Berilah ruang kepada hati anda untuk mengenal Tuhan Pencipta, seterusnya tuntunlah ia mencipta perubahan.

Jangan jadi seperti orang zalim yang telah dimatikan, tetapi merayu kepada Allah untuk dihidupkan semula supaya boleh kembali ke dunia untuk berbuat amal kebajikan. Itu penyesalan yang tiada gunanya. Perhatikan ayat ini:

Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari Neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat),
maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.
[Al-Mu'minun : 107]


Anda kenal diri anda. Anda pujuklah hati anda itu.

Berita Gembira sebagai Balasan Cinta

Sebelum menutup kisah cinta ini, penulis ingin bawakan khabar gembira daripada Allah, Tuhan kita semua:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
[Fusshilat:30]


Mari hiburkan hati yang kita cintai itu dengan alunan ini

video

Semoga kita memperoleh ketenangan hakiki.

Sunday, November 15, 2009

CHERITA CHINTA

Sekadar ingin menulis bacaan ringan sebenarnya.

C.h.i.n.t.a... Tiru ejaan ayah penulis dizaman beliau muda remaja dulu. era 50-an, 60-an. Kalau dibaca mengikut cara ejaan begini, kedengaran menarik juga.

Betul tak? Hmm.. apa-apa lah.

Chinta itu Cinta lah.

Kenapa kali ini pasal cinta?

Entah.. Begitu teringin untuk menulis berkaitan cinta.

Mungkin sebab terlalu banyak menelan bahan berkaitan cinta. Sebelum ini penulis baru sahaja menghabiskan buku 'Kisah Cinta Dalam Al-Quran', tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Semalam pula kami beramai-ramai menonton filem 'Ketika Cinta bertasbih'. Kisah yang difilemkan dari novel cinta karya Habiburrahman Al-Syirazi. Lagi pula, akhir-akhir ini sering dihujani dengan artikel-artikel tentang cinta.

Begitulah.

Jadi, ada baiknya penulis muhasabah kembali dimana duduknya rasa cinta ini. Penulis ingin mengajak sahabat pembaca muhasabah bersama-sama.

Siapa sedang bercinta sekarang ini? Cinta pada siapa?

Jika pada Allah 'Azza wajalla. Subahanallah. Itu nikmat cinta teragung yang memang harus dimiliki.
Jika pada Rasulullah. Bermakna hampir sempurnalah iman.
Jika pada ibu ayah, ahli keluarga, dan sahabat-sahabat sekeliling, ini menunjukkan anda bijak mensyukuri anugerah Allah.
Jika pada suami atau isteri, penulis kira anda adalah pasangan yang paling ideal yang bahagia kerana telah diikat oleh mawaddah dan rahmah Allah.

Betapa besar ganjaran pahala disisi Tuhan kita jika memiliki cinta-cinta ini.

Kata Azzam kepada Eliana, "jika bukan yang halal bagiku, itu bala namanya.. ". Naaah.

Kata Bapak Hamka pula, "Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat."

Betul lah. Mereka semua adalah sumber kekuatan, kesempurnaan kepada fitrah cinta manusia.

penulis ingin bertanya lagi anda semua. mungkin anda terlupa pada seorang lagi yang harus juga anda berikan cinta.

Siapa?

Diri anda sendiri.

Bagaimana anda mencintai diri sendiri?

Jangan tanya penulis. Hanya anda yang mampu menjawabnya.

Penulis hanya ingin beri clue. Mungkin ia membantu anda mencari jawapan yang sebenarnya.

Katakan pada diri anda, "Aku bimbang, bagaimana pengakhiran aku nanti?"

Berikanlah cinta anda pada diri.

Sebagai renungan,

وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِنَ الأمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الإيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ

"Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus."
[Al-Hujurat : 007]

Wednesday, November 4, 2009

MAHU YANG BAGAIMANA?

Memilih warna kehidupan...

Semua orang mahu yang baik. Tiada siapa minta diberikan yang buruk, dan jika boleh mahu yang 'terbaik'. Penulis juga begitu, sebolehnya mahu yang elok-elok sahaja.

Ada sesiapa yang tidak bersetuju dengan pernyataan ini?

Baiklah, tentu sahabat pembaca pernah mendengar atau membaca kisah Nabi Musa a.s. ketika masih kecil. Fir'aun telah menguji tahap kebijaksanaan Nabi Musa dengan meletakkan dua biji mangkuk yang satunya berisi permata dan satu lagi bara api. Jika Nabi Musa memilih permata, bermakna baginda bijak dan bakal memberi ancaman kepada kedudukan Si Zhalim itu. Jika sebalik, maka Fir'aun akan terselamat dari bala yang diberitakan.

Diriwayatkan, baginda asalnya memilih batu permata, tetapi Allah mengarahkan malaikat jibril mengalihkan tangan baginda kearah mangkuk berisi bara api. Akhirnya, baginda terambil bara dan meletakkannya didalam mulut mengakibatkan lidah baginda terbakar dan menyukarkan baginda berkata-kata.

Melalui kisah ini, penulis ingin membawakan contoh fitrah manusia yang berakal sememangnya inginkan yang cantik, yang sempurna. Walaupun masih kecil dan belum pandai berfikir, mereka tetap tertarik pada perkara yang menyenangkan mereka. Hanya mereka yang bodoh sahaja menolak kebaikan.

Mari kita bincang lagi tajuk ini.

Destinasi akhir

Jika sahabat pembaca diberi pilihan antara tinggal di dalam gua yang kelam atau di istana yang indah bergemerlapan, yang mana satu menjadi pilihan? Penulis yakin yang nombor dua akan jadi pilihan.

Siapa mahu hidup didalam gua yang gelap dan bahaya itu? Banyak binatang buas dan sangat tidak selesa. Lain dengan istana. Selamat malah mendapat layanan istimewa. Lebih hebat jika dapat bersua muka dengan raja yang menganugerahkan hidup seumpama itu.

Sekarang mari kita renungkan pengakhiran hidup kita ini. Manusia diberi pilihan oleh Allah Ta'ala untuk memilih tempat tinggal selepas dihidupkan kembali diakhirat kelak.

Mahu syurga atau neraka. Ada dua pilihan sahaja.

Ramai manusia mendambakan syurga kerana keindahan yang tidak tergambar oleh mata. Keajaiban yang diceritakan oleh Allah dan Rasul tidak dapat dibayang oleh akal manusia. Hanya dengan memasukinya sahaja impian untuk bertemu Tuhan Al-Wadud akan tercapai dan boleh berada disamping Rasulullah tercinta. Penulis rasa sahabat-sahabat juga impikan yang sama.

Jadi bagaimana??

Fikirkan pilihan

Pernahkah kita berfikir, Allah suka orang yang bagaimana? Allah benci orang yang bagaimana?

Mampukah kita menanggung seksa kubur? tahankan kita dengan seksa api neraka? kita tidak akan dimatikan lagi diakhirat esok. Jadi azab itu tidak akan berhenti selama mana menjadi ahli nereka jahannam.

cuba renungkan kita hari ini bagaimana? solat kita, ibadah kita, hati dalaman kita, akhlak kita?

Bukankan kita mahu yang terbaik? jika begitu, kita juga harus jadi yang terbaik.

Jika kita teliti kalam Allah, kita akan ketemu dengan banyak ayat yang menceritakan golongan yang layak memilki syurgaNya. Kesimpulannya hanya mereka yang bertaqwa dan mendapat rahmatNya Allah sahaja yang layak.

Firman Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.
[Ali Imran : 015]

Adakah kita layak menghuni syurga Allah? Ya. Allah tidak menetapkan koata berapa ramai dikalangan hambaNya yang boleh masuk syurga. Hanya iman yang melayakkan kita terpilih atau tidak. Semua orang boleh berusaha untuk meraih iman dan taqwa. Jadi, kita semua layak memiliki syurga.

Maka penulis ulang sekali lagi, jika mahu yang baik, kita harus cuba jadi yang terbaik. Terbaik dalam penilaian Allah adalah keimanan dan ketaqwaan. Iman dan taqwa itulah yang mempengaruhi peribadi seseorang.

Bina hati yang baik

Adakah betul penilaian seorang doktor yang hebat bergantung kepada cara dia menggantung stethoscope dilehernya? atau dilihat dari cara jalannya? tidak bukan...

Salah jika manusia mula bentuk peribadi dengan perkara yang luaran dahulu. Ada manusia mengubah cara perwatakannya yang keras kerana merasakan watak lembut itu lebih 'solehah'. Ada yang sanggup memakai kopiah sepanjang masa supaya orang melihatnya 'soleh'.

Rasulullah s.a.w menyatakan dalam diri manusia ada seketul daging. jika ia baik, maka baiklah seluruhnya. Dan jika buruk maka rosak, rosaklah seluruhnya, iaitulah hati.

Peribadi mulia bermula dari hati yang bersih.

Mungkin kita biasa mendengar kata-kata dari tabi'en, “ Iman itu bukan hanya dengan angan-angan, dengan kata-kata, tetapi apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amal”

Marilah kita mula serius memikirkan masa depan. Kita bukan hanya inginkan kesenangan didunia, tetapi juga akhirat.

Jika hati sakit, rawatlah ia dengan segera. Jika hati sudah baik, peliharalah ia sebaiknya.

Kita mahukan peribadi yang menjamin kehidupan kita selamanya.