Thursday, July 9, 2009

SERUAN ANAK JANTAN


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ
يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِ
يمٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya." [Al-Maaidah 5:54]
Sesungguhnya keteguhan Agama Islam amat bergantung pada kekuatan generasi pejuang yang mendokongnya. Walaupun kesucian Islam telah dijamin oleh Allah Taala akan kekal hingga hari qiamat, namun jatuh bangunnya tetap ada. Faktor yang terbesarnya adalah pemuda pemudi yang ada padanya. Golongan yang menjadi kaum yang 'mengganti' kaum yang berpaling tadah.

Bagi mereka yang biasa dengan loghat kelantan, istilah anak jantan sering dikaitkan dengan pemuda yang berani, sabar, yakin diri, rajin, tegas, pelindung dan berdikari. Jadi, tidak salah rasanya jika penulis menggambarkan anak-anak jantan inilah calon yang paling layak mewarisi perjuangan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'en. Remaja Islam atau anak jantan sejati adalah aset yang paling kuat untuk menanggung risalah dan panji Islam.

Anak Jantan Yang Soleh


Menjaga segala aspek kehidupan adalah ciri yang perlu ada pada seorang pejuang. Ia merangkumi hubungan dengan Allah, Rasulullah, keluarga dan masyarakat serta makhluk selain manusia. Barulah dikata anak jantan sejati.

Tindakan melambangkan apa yang ada dihati. Maka, tegakkan syi'ar Islam di dalam diri dahulu jika mahu melihat Islam tertegak dimuka bumi. Penulis tidak percaya pada yang sering disebut-sebut "nampak luar sahaja buruk, tapi hati dalam sebenarnya baik". Mana mungkin, Islam itu sempurna zahir dan batin.

Bagaimana pula hubungan anak jantan yang soleh dengan keluarganya? Anak jantan sejati tidak menyandarkan tanggungjawab menjaga keluarga hanya pada ibu dan ayahnya. Malah dia sendiri yang akan lebih mainkan peranan. Menjaga ahli keluaga dari fitnah dunia dan seksa neraka jahannam. Yang abang sentiasa peka dengan kesalahan adik. Yang kakak sentiasa menasihati kearah kebaikan. Yang adik sentiasa berani menegur kesilapan yang tua. Penuh hikmah, penuh teladan.

Anak jantan sejati akan prihatin dengan masyarakat sekeliling. Sentiasa menunjukkan sikap saling memerlukan dan adil dengan sesiapa sahaja. Yang lemah dibantu seikhlas hati. Perasaan jiran tetangga dijaga tanpa sabarang syak wasangka. Baik Melayu, baik Cina, baik India, dan baik sesiapa sahaja, mereka semua disatukan dibawah panji keagungan Islam.

Wanita Perkasa


Penulis lebih suka bila seorang gadis digelar jantan berbanding betina. Walaupun gelaran jantan itu biasanya diberikan pada kaum lelaki, namun apa salahnya jika sifat-sifat jantan itu ditanam dalam diri seorang perawan. Gelaran betina adalah kata nama yang mungkin pada penulis adalah yang paling jelek untuk didengar. Betina sering disifatkan sebagai seorang yang mudah menyerah kalah, tiada kehormatan, dungu dan segala macam kehinaan.

Sifat anak jantan yang berani, bijak, sabar dan sebagainya harus ada dalam diri seorang muslimat. Ia akan menjadi sumber kekuatan kepada muslimah itu untuk bertindak bijak dalam membawa Islam dan terus berani mempertahankan maruah agama, keluarga dan juga dirinya. Sama-sama berganding tenaga dengan pelbagai golongan Ummat islam, menyumbang kearah tertegaknya syariat Islam di seluruh dunia.

Islam tidak perlukan wanita yang lembut hingga pijak semut pun semut tidak mati. Tidak perlu kepada wanita yang punya lenggok gemalai. Tidak perlu kepada wanita berlunak suara bila berbicara. Tidak perlu kepada wanita yang lemah manja. Itu semua hanya akan menyebabkan seorang wanita terus berada ditahap lemah dan terkebelakang.

Biar dikata keras hingga jentik gajah pun gajah tumbang. Yang penting adalah semangat yang jitu. Ada prinsip yang teguh berpaksikan Al-Quran dan Sunnah. Bukankah ada pepatah yang mengatakan tangan yang menghayung buaian bisa menggegarkan dunia. Yang menghayung buai itu kasih sayangnya, yang menggegar dunia itu semangatnya. Wanita juga mampu menjadi pendekar dunia. Gagah tika melangkah, tegas dalam bicara, namun masih menyimpan ciri wanita solehah.

Pernah suatu ketika, Khalifah 'Uthman bin 'Affan R.A. melantik Habib ibn Maslamah Al-Fihri sebagai panglima tentera muslimin menentang tentera-tentera Bizantin, dan isteri kepada Habib juga menjadi tentera dalam angkatab itu. Sebelum peperangan bermula, isterinya datang kepada beliau dan bertanya, "wahai suamiku, dimanakah kita akan bertemu setelah peperangan semakin memuncak?".

Habib membalas, "Kamu akan temui aku samada di tempat panglima Bizantin ataupun di syurga". Setelah peperangan berakhir dan tentera muslimin mendapat kemenangan gemilang, Habib segera ketempat panglima untuk menemui isterinya sepertimana yang telah dijanjikan. Sesampainya Habib disitu, beliau terkejut melihat isterinya telah lama sampai sembelum beliau. Mantap!

Berkhidmat Pada Allah dan Rasul-Nya


Ayuh muda-mudi Islam semua, bergeraklah. mainkan peranan kalian dalam perjuangan menegakkan deenul-Islam dibumi Allah ini. Tentang segala kezaliman, tutup segala lubang-lubang yang membawa kejahilan dan laungkan kesyumulan islam. Kalian semua mampu mengubah. Tegaknya Islam bila teguhnya pasak iman dalam diri kalian. Buang sikap lama yang merugikan itu dan menyerah dirilah pada Allah.

Cukuplah setakat ini kita malu pada kebijaksanaan Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a., kecerdikan Sayyidatina 'Aisyah binti Abu Bakar r.a., keluhuran Sayyidatina Fatimah binti Muhammad r.a., keberanian sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w seperti Zubair bin al A’wam, Saad bin Abi Waqas, al Arqam bin Abi Arqam al Makhzumi, Talhah bin Ubaidullah radhiallahu 'anhum, serta kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh dan ramai lagi pejuang islam. Mereka ini terserlah keperibadian dan kehebatan masing-masing dalam sejarah perjuangan islam sedari usia mereka masih belasan tahun.

Beruntunglah mereka yang melihat dunia melalui jendela akhirat. Peluang hidup sekali ini sahaja, kita mahu tunggu sampai bila?

Anak jantan tidak akan menyerah kalah!

1 comment:

  1. salam,

    sarat dengan pengajaran dari post terbaru kali, jom kita sama2 berusaha jadi anak jantan,he3
    dan sama2 kita bina generasi muda yg berilmu dan x gentar dalam mghadapi ujian, bahkan senangtiasa dahagakan ujian dariNYA...

    ReplyDelete