Friday, May 22, 2009

EPILOG HAMBA

Genap seminggu lamanya laman ini tidak di update. Sebenarnya timbul juga perasaan untuk me'ringankan tangan' menghidang sesuatu baru, namun disebabkan ruang waktu yang amat-amat terbatas untuk ini dan talian internet yang amat tidak stabil beberapa hari lepas , merencatkan idea-idea yang datang bertandang. Idea yang datang bagaikan renjisan air. Tidak mencurah sebagaimana biasa. Terasa amat susah untuk dikembangkan.

Semakin hampir dengan peperiksaan akhir, penulis memaksa diri menumpukan sepenuh perhatian pada taklifan akademik. Sedaya-upaya untuk tidak mengabaikan amanah yang satu ini. Walaupun blogging juga satu amanah yang baru dinaik taraf untuk memanfaatkan waktu dinihari. Namun jalan dakwah ini harus dikesampingkan buat sementara waktu.

Tanggungjawab sebagai da'i (dan juga mad'u) diluar sana telah diletakkan sebagai yang paling utama. Namun sedar ada juga yang penulis abaikan. Maaf dipinta atas kelalaian ini.

Penat jasadiah harus ditahan dari rebah. Penat ruhiah harus dibuang jauh. Mesti bertokah manahan arus. Ini jalan yang dipilih. Ini jalan yang dipohon setiap malam. Merayu agar Allah memberi ruang, peluang dan kekuatan untuk memaksimalkan segala yang ada pada diri ini untuk berjuang dan beramal dijalanNya.

Pasang-surut iman sering melanda. Selalu sahaja merasakan Yang dikejar lambat dicapai, yang dikendong tidak mampu ditanggung semuanya. Seharusnya ia tidak boleh ada jika mahu menjadi hamba mujahidah terpilih. Tetapi Itulah hakikat diri manusia yang yang maha lemah. Walaupun usia sudah suku abad, namun diri masih merangkak mencari cinta Yang Maha Agung. Masih tebal lidah untuk benar-benar mengecap manisnya nikmat iman padaNya.

Doakan perjalanan diri ini sentiasa benar diatas landasanNya. Kejayaan didunia adalah sebagai kenderaan yang amat diperlukan menuju Ilahi diakhirat sana.

قَالا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنْ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami
dari orang-orang yang rugi
"
[Al A'raf 7:23]


Friday, May 15, 2009

DOA SEBAGAI VAKSIN

Sekarang ini heboh diseluruh dunia berbicara mengenai Selsema babi/Influenza H1N1 yang telah meragut banyak nyawa. Penularan virus H1N1 ini menakutkan ramai pihak dan terbaru, kerajaan China dilaporkan sedang mengesan individu-individu yang dikhuatiri terkena jangkitan. Usaha ini dilakukan bagi mengawal dan memastikan virus ini tidak merebak lebih luas.

Risalah Kementerian Kesihatan Malaysia menyebut:

Soalan : Adakah terdapat vaksin bagi melindungi manusia daripada jangkitan Selesema Babi?
Jawapan: Tiada.


Vaksin influenza bermusim yang dihasilkan mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak mengandungi virus Selesema Babi. Tidak juga diketahui sama ada vaksin bermusim boleh menyediakan perlindungan silang bagi menc
egah jangkitan virus Selesema Babi.

Jom kita amalkan doa ini yang diajar oleh Nabi saw, mudah-mudahan ia menjadi VAKSIN terbaik untuk selamat daripada Selesama Babi. Doanya ialah:

Doa Pilihan Pelindung Keluarga
Ajarilah anak-anak kita, diri dan keluarga kita dengan doa yang sohih dari nabi ini iaitu :-
من نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قال أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ من شَرِّ ما خَلَقَ لم يَضُرَّهُ شَيْءٌ حتى يَرْتَحِلَ من مَنْزِلِهِ ذلك
Ertinya : sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk" maka dia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa pun sehinggalah dia kembali ke rumahnya semula." ( Riwayat Muslim, 4/2080)

Disebut dalam satu riwayat lain, nabi bersabda :-

فقال رسول الله من أي شيء قال لدغتني عقرب قال رسول الله أما إنك لو قلت حين أمسيت أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم يضرك إن شاء الله

Ertinya : nabi bertanya : kena apakah kamu ?
Lelaki berkata : aku disengat kala
Nabi berkata : sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat" ( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )

Juga sebuah lagi doa yang mudah dari hadis sohih:-
رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ
Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa: "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, dia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan -

Mudah-mudahan ALlah menyelamatkan kita serta keluarga daripada azab dan segala bala bencana.

** Doa dipetik dari http://yusofembong.blogspot.com/2009/05/doa-pelindungvaksin-daripada-selesama.html

Wednesday, May 13, 2009

MILO AIS, BISKUT TAWAR


Allahuakbar... Malam ini penulis rasa pening kepala, sebak dada, golovokruzjenie (berpinar), nak menangis; semua ada. Baru sahaja melepasi peperiksaan praktikal untuk subjek Therapy, terus terfikirkan beberapa komitmen lain yang harus diselesaikan dalam masa seminggu ini. Di tambah pula dengan soalan-soalan ujian MCQ untuk subjek Surgery sabtu ini masih belum dibelek, memberatkan lagi beban di kepala.

"sabar.. rancang betul-betul apa perlu dibuat dulu. mesti boleh selesai punya masalah. macam la tak biasa benda ni jadi.." pesan hati pada akal.

"Ok insyaAllah. aku sabar. Minum milo ais dulu la, boleh rilek sikit" jawab si akal.

"haa.. macam tu la bagus. yakin boleh!! eh, dulu cakap tak nak minum ais. takut lembab otak, kenapa hari ni langgar pantang?" soal si hati.

"heheee.. panas la. kepala ni panas sangat. masuk ais, cepat sikit sejuk" katanya akal.

"alaah.. cakap je la tak boleh tahan sabar.. jangan lupa ya. Lepas ni dah tak boleh minum milo lagi. BOIKOT NESTLE, BOIKOT BARANGAN ISRAEL DAN KONCO-KONCONYA!!. itu jihad kecil kita untuk saudara-saudara kita di Palestin..jangan minus ais juga" hati berucap penuh semangat, dan akal mengangguk faham. Tersenyum si akal bila disindir temannya. Begitulah kisah sebenar yang berlaku malam ini. Zahirnya diam, batinnya riuh.

Selepas meneguk milo ais, penulis duduk di meja mengadap komputer. Cuba meredakan rasa sakit kepala dengan mengalirkan takungan beban fikiran melalui papan keyboard. Sambil itu, mendengar koleksi rakaman kuliyah Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Rasanya perlu dikongsi dengan pembaca apa isinya. Memang menarik dan memang kena dengan batang hidung sendiri.



Pesan Imam Al-Ghazali, tiap-tiap pemberian Allah taala tidak boleh sama sekali bersyukur sahaja dengan tidak bersabar. Begitu juga bila Allah turunkan bala tidak boleh kita bersabar sahaja tanpa ada rasa syukur. Kedua-duanya harus dibawa bersama-sama.

Penulis lupa dengan pesanan itu. Tetapi, itulah manusia, termasuk diri penulis sendiri, sabar hanya bila terkena bala. Bila hati rasa sedih mahupun takut, atau bila tidak dapat skor dalam peperiksaan, atau terpaksa makan roti keras kerana stok makanan habis; yang terbit hanyalah 'mesti sabar'. Tiada syukur pun yang terselit.

Begitu juga dengan syukur, hanya ada bila Allah datangkan ni'mat. Bila masa kita sihat, atau dapat bonus, atau apabila hati berasa lega dan gembira kita biasanya diminta untuk banyakkan bersyukur. Tidak terlintas lansung untuk bersabar dengan ni'mat itu.

Apa yang harus dilakukan untuk kita gabung-rangkaikan dua perkara yang berbeza dalam satu masa yang sama? Penulis bawakan contoh mudah.

Bilamana manusia dianugerahkan oleh Allah Taala dengan harta yang banyak, atau ilmu yang luas, atau pangkat kedudukan yang tinggi, maka kita perlu bersyukur. Tetapi harus ingat, nikmat seperti ini jugalah yang membawa kerosakan diatas muka bumi. Menggunakan kelebihan-kelebihan ini untuk mencari kuasa, menipu dan menindas makhluk Allah yang lain. Oleh sebab itu, jika dia bertindak juga mengikut nafsu, ini menandakan orang itu tiada sabar atas godaan harta dan pujukan syaitan.

Pesan Imam Ghazali lagi, manusia yang berakal tidak harus putus asa malah harus berasa gembira dan berterima kasih dengan bala yang menimpa atas sebab lima perkara. Pertama, tiap-tiap bala yang menimpa, Allah boleh datangkan yang lebih berat dari itu. oleh itu, disamping bersabar dengan cubaan itu, bersyukurlah kita kerana Allah tidak letakkan bala yang lebih berat dari itu.

Kedua, bersyukurlah apabila bala itu tidak menjejaskan agama dan aqidah kerana bala jenis itu datang tanpa disedari dan kesannya amat ditakuti bagi mereka yang beriman. Ketiga, bala yang ditimpakan terus didunia adalah sebagai kafarat dosa, maka tidak perlu lagi menunggu balasan diakhirat. Atas sebab itu, kita berpeluang untuk bertaubat dan menghindar dari seksa neraka.

Keempat, setiap anak adam telah tertulis di luh mahfuz akan bala-bala baginya, maka setiap bala yang telah datang akan mengurangkan jumlah bala yang telah ditaqdirkan. Terakhir adalah, seberat-berat bala yang ditimpakan, pahala yang dijanjikan adalah lebih berganda beratnya bagi mereka yang bersabar.

Benarlah pesanan Imam Ghazali itu, setiap perkara yang datang pada kita samada baik atau buruk, kecil atau besar, harus diterima dengan rasa sabar dan syukur.


Penulis merenung pada gelas air yang ada didepan mata. milo ais ini satu ni'mat. Rasa bersyukur kerana sejuknya membantu menghilangkan 'panas' kepala yang menyerang sebentar tadi. Namun selepas ini, kena bersabar dengan godaan ais. Tidak mahu membiasakan diri dengan tabiat minum ais yang memang diketahui kesan buruknya pada tubuh badan.

Begitu juga dengan biskut kering ini. Harus sabar menikmatinya dan harus juga syukur. Sekurang-kurangnya ada juga biskut ini sebagai pelapis perut malam ini. Bagaimana nasib saudara-saudara kita di Palestin, dan dinegara-negara yang untuk mereka tiada lansung bekalan makanan. Tentunya biskut kering inilah ni'mat terbesar pada mereka. Hanya Allah sahajalah yang mampu meringankan penderitaan mereka.

Doa Rasulullah s.a.w "Ya Allah, jangan lah bala ke atas kami itu kena ke atas Ugama kami"

Dari Abu Yahya, yaitu Shuhaib bin Sinan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Amat mengherankan sekali keadaan orang mu'min itu, sesungguhnya semua keadaannya itu adalah merupakan kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan ada lagi seseorangpun melainkan hanya untuk orang mu'min itu belaka, yaitu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, iapun bersyukur-|ah, maka hal itu adalah kebaikan baginya,sedang apabila ia ditimpa oleh kesukaran - yakni yang merupakan bencana - iapun bersabar dan hal inipun adalah merupakan kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)

Sunday, May 10, 2009

IBU - MORE THAN JUST A WOMAN

Sempena Hari Ibu 2009, pagi ini penulis cuba untuk memanfaatkan 20 minit yang diperuntukkan untuk post ringkas ini, bagi menzahirkan syukur, penghargaan dan rasa hati pada ibu penulis, ibu-ibu dan semua bakal ibu. (Doakan kejayaan penulis untuk imtihan practical therapy selasa ini)

Firman Allah Taala: "Aku Tuhan yang bernama Ar Rahman, dan tempat ini (tempat melahirkan anak) bernama rahim. Aku pecahkan untuk rahim itu satu nama dari nama-nama Aku (Ar Rahim). Maka sesiapa yang menghubung dengannya, Aku juga turut berhubung, dan sesiapa yang memutuskannya, Aku juga akan memutuskan hubungan dengannya." [Hadith Qudsi]


Rahim adalah tempat Allah simpulkan pertalian pertama antara jasad ibu dan anak. Dalam ilmu sains, placenta (tali pusat) menghubungkan darah ibu dengan anak sebagai saluran untuk makanan dan bahan buang anak. Tetapi dalam ilmu Allah, fungsi placenta adalah lebih dari itu. Sebagai saluran kasih sayang, aqidah, dan akhlaq seorang ibu kepada anaknya. Itulah keistimewaan, peranan dan tanggungjawab seorang ibu.

Pada rahim itu juga terbinanya pertalian darah daging antara dua jasad. Rahim adalah pengikat kasih antara ibu bapa, adik beradik dan kaum kerabat. Maka atas dasar rahman dan rahim itulah, kita perlu menghormati mereka semua. Jika terputus ikatan rahim itu, maka terputuslah ikatan dengan Allah.

Betapa besar dan mulianya penghargaan yang Allah berikan kepada kaum wanita sehinggakan mengisytiharkan di dalam satu hadith. Allah meletakkan sifatNya yang mulia itu pada kaum wanita (ibu) kerana sifat semulajadi wanita yang Allah ciptakan.

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنْ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih-sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil"
[Al Isra':24]

Last but not least, Selamat Hari Ibu penulis ucapkan kepada Che tercinta, Puan Aminah binti Che Mud, Moga che sentiasa dalam rahmat kasih sayang Allah. Terima kasih kerana menjadikan kami anak-anak sebagai 'buah hati' dan 'tulang belakang' che. Buat adik-beradik perempuan tersayang; Kak We, Kak Rah, Kak Na, Kak Dah, Bah, Asma dan Kak Nina. Kalian ibu dan bakal ibu yang bakal melahirkan Jundullah.

Wednesday, May 6, 2009

SELAMAT PENGANTIN BARU

بارك الله لكما
وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير

Alhamdulillah. Harapnya, belum terlambat untuk penulis merakamkan ucapan Selamat Pengantin Baru buat sahabat seperjuangan, Ukhti Nurhidayah Mokhtar yang telah selamat diijabkabulkan dengan mujahid pilihannya, Akh Elmi Baharuddin pada 1 Mei 2009. Semoga Allah rahmati hidup kalian berdua. Didoakan agar hubungan mulia ini akan melahirkan mujahid dan mujahidah baru untuk islam.






"Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasanagn, supaya kamu menginagti (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami)"
[Adz Dzariyat:49]

P/S: Dayah, maaf tak dapat bersama dihari bahagia ni. Doa ma sentiasa mengiringi hidup kalian semua.

Saturday, May 2, 2009

BILA TAK BIASA JADI BIASA

Syukur Alhamdulillah kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk 'berehat' selama tiga hari sempena Hari Pekerja. Jarang sekali kami dapat bercuti dalam jangka masa yang lama begini. Biasanya, hari minggu kami cuma sehari, hari Ahad. Segala aktiviti cuba dimanfaatkan semaksimum mungkin pada hari tersebut. Awal-awal dulu timbul juga rasa cemburu dengan sahabat-sahabat di universiti lain, namun terpaksa dibiarkan sahaja. Lama-lama dah jadi biasa.

Syukur juga dipanjatkan kerana diberi peluang untuk meluaskan pengembaraan di bumi Volgograd. Pagi semalam, penulis berkesempatan menyertai lawatan bersama sahabat-sahabat tahun akhir berkunjung ke Masjid Tertua di Volgograd; Masjid Chepurniki yang berusia lebih dua abad dan melawat sekitar perkampungan muslim disitu. Nikmat menjadi tetamuNya terlalu manis. Fikiran tenang dapat beri'tiqaf dirumahNya.

Untuk entry kali ini, penulis tidak berhajat untuk berkongsi catatan kembara itu. Moga diberi ruang masa lagi olehNya untuk mencatat kembara sufi penulis diruang maya ini. BiizniLLah.

Otak ligat berfikir. Kenapa remaja hari ini mudah sangat berubah dan malah mudah sangat dipengaruhi. Dulu lain, sekarang dah lain. Fenomena "Dulu tak biasa, sekarang dah biasa" yang tidak sudah-sudah melanda.


Penulis suka menilai apa yang berlaku dihadapan mata. Melihat sahabat-sahabat sendiri banyak yang berubah, hati rasa bimbang. Sahabat-sahabat yang penulis kenal dari tadika, sekolah rendah, maahad, IIU dan hinggalah di Volgograd. Penulis cuba perhatikan. Bukan berniat menjaga tepi kain mereka, tetapi merasakan kadang-kadang kita perlu juga untuk ambil tahu apa yang berlaku pada sahabat sendiri.

"Macam mana ni kak? saya sedih la tengok kawan-kawan saya tu. Sekarang ni suka main boling dekat Mall dengan budak-budak lelaki. Alasannya keluar dengan groupmate sekali sekala apa salahnya. saya bukan apa, selalu sangat sebenarnya. Dah macam jadi hobi baru. Rasanya, ada masa kosong je mesti nak ajak groupmates tu main. Dulu tak macam ni.." luah seorang teman beberapa hari lepas.

Perkara yang sama juga bermain difikiran teman itu. Bimbang melihat angin baru sahabatnya. Penulis sendiri tidak dapat memberi jawapan yang melegakan untuk soalan itu. Yang terlintas dibenak penulis adalah "bila yang tak biasa, nak mula jadi biasa". Mencari-cari punca dan cara untuk menghalang pertukaran angin itu.

Fenomena ini bukan baru, tetapi makin lama makin menjadi-jadi. Semakin tinggi tahap pelajaran, semakin jauh tahap perubahan. Kadang-kadang tidak terfikir dek 'akal fikiran kita.

Penulis tidak bimbang, malah bersyukur, jika ia perubahan kearah yang positif. Dulu tak pandai mengaji Quran, sekarang Quran sentiasa dalam poket. Dulu asyik 'miss' solat, sekarang solat sentiasa awal waktu. Dulu tak biasa bercakap depan orang, sekarang berceramah mengalahkan ahli politik. Memang perubahan seperti itu yang diharapkan.

Namun yang sering dikhuatiri adalah jika perubahan itu mengheret diri kearah berbuat derhaka atau maksiat pada Allah. Dulu segan nak bercakap dengan lelaki, sekarang bila bercakap jarak cuma sejengkal. Dulu bertudung labuh, sekarang tudung singkat atas dada. Dulu anti couple, sekarang kemana-mana berkepit dengan girlfriend. Akhlaq berputar 180 darjah. Hilang rasa malu, berani yang keterlaluan. Perubahan seperti inilah yang perlu dielakkan. Bagaimana ini semua boleh terjadi? Wallahua'lam.

Hati kecil manusia sentiasa membisikkan kebenaran, sebelum setiap tindakan yang diputuskan, hati kecil itulah yang akan bersuara dahulu memberikan fatwanya. mengiakan yang baik, melarang yang buruk. Namun, dalam diri manusia juga adanya akal dan nafsu yang akan mempengaruhi tindakan. Jangan sampai nafsu yang mengusai, kerana dibelakangnya ada syaitan yang sentiasa menghancurkan jiwa hamba.

Fenomena 'tak biasa jadi biasa' bermula dengan, "cuba sekali ni aja, bukan selalu". Apabila syariat Allah dan fatwa hati tidak diendahkan, maka bermulalah titik perubahan. Jika keadaan ini berterusan, ini menandakan manusia itu telah masuk ke 'alam kebiasaan'. Allah berfirman:

وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَاناً فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
" Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya"
[Az Zukhruf:36]

Jangan sampai hati kecil itu merajuk selamanya dan tidak mahu berfungsi lagi. Necrosis jadinya. Bila hati dah keras, manusia makin hilang pertimbangan. Dek kerana terlalu biasa, tak kisah apa nak jadi.

Sama-samalah kita muhasabah. Jika ada yang telah melampaui syariat yang telah dibataskan, berhentilah dan undur kembali ke jalan yang telah di ajarkan Rasulullah s.a.w. Mintalah keampuanan dah hidayahNya. Belum terlambat untuk meraih tempat disisiNya. Pintu taubat sentiasa terbuka luas selagi nyawa belum dikerongkong.

كَيْفَ يَهْدِي اللَّهُ قَوْماً كَفَرُوا بَعْدَ إِيمَانِهِمْ وَشَهِدُوا أَنَّ الرَّسُولَ حَقٌّ وَجَاءَهُمْ الْبَيِّنَاتُ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (86) أُوْلَئِكَ جَزَاؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ اللَّهِ وَالْمَلائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (87) خَالِدِينَ فِيهَا لا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ الْعَذَابُ وَلا هُمْ يُنْظَرُونَ (88) إِلاَّ الَّذِينَ تَابُوا مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (89)
"Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas dan nyata. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.

Mereka itu, balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya serta sekalian orang-orang (yang beriman).


Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.


Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
."
[Ali Imran:86-89]

Ayuh kita banyakkan membaca, dekatilah majlis-majlis ilmu, carilah sahabat yang boleh mengingatkan, dan banyakkan berfikir dan berzikir. Kata pepatah, Alah bisa tegal biasa. Istiqamah mencari redhaNya.

"Sucikanlah empat perkara dengan empat perkara..Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada PenciptaMu, Hatimu takut dan gementar kehebatan RabbuMu dan Dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang memilikimu"