" Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan
matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (diantara seluruh umatku) adalah orang islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan yang menurut perintahnya)" [Al An'am:162-163]
Apa fungsi solat sebenarnya? Adakah cukup dengan menjawab "Solat itu wajib sebab Allah yang suruh. kalau tinggal berdosa besar", ataupun "aku takut tinggal solat, kalau tinggal, neraka paling dalamlah jawabnya".
Penulis masih ingat, semasa kecil kami adik-beradik sering dimarahi ayah kerana lalai dalam solat. Beliau paling tegas dalam bab yang satu ini sehinggakan jika tidak solat berjemaah di masjid pun akan dirotan. Setiap waktu solat, sebelum ke masjid beliau akan 'warning' anak-anaknya dan selesai sahaja beri salam beliau akan berpaling ke belakang membilang semua anak lelakinya dalam kelompok jemaah masjid. Walau seorang sahaja tiada di situ, beliau terus pulang ke rumah untuk meninjau dan menghukum, dan barulah kembali semula ke masjid untuk mendengar kuliyah.Ibu pula mengawal kami anak-anak dari belakang. Anak-anak perempuan dipastikan ke masjid bersama-sama. Rutin ibu sebelum mengangkat takbiratul ihram, beliau akan mengintai melalui celahan dinding masjid meninjau aktiviti anak-anak lelakinya ketika jemaah yang lain sedang khusyu' bersolat. Walaupun ibu tidak pernah menghukum kami, tetap jika ada yang 'buat hal', siap sedialah kami menanti hukuman dari ayah. Ayah selalu cakap "kalau kamu tak nak jaga solat sekarang, siapa akan jaga kamu nanti?"
Kisah di atas adalah sekadar perkongsian. Yang baik jadi teladan, yang buruk jadikan pengajaran. Daripada pengalaman dibesarkan oleh seorang ayah yang 'bekeng' dalam mendidik anak-anak, latihan untuk menjaga solat itu telah memberi sedikit jawapan kepada persoalan fungsi sebenar solat.
Islam agama sempurna. Bersolat dengan penuh khusyu' adalah tingkat yang amat susah untuk dicapai. Ia memerlukan ketaatan, kesabaran serta usaha yang berterusan. Inilah fungsi solat; mendidik untuk mentaati, melatih untuk sabar, dan menggerak diri untuk berusaha lagi sehingga matlamat dicapai.
Firman Allah Azzawajalla:
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ الْكِتَابِ وَأَقِمْ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhamad) akan apa yang di wahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahnyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." [Al 'Ankabut:45]
Di sini, Allah mengajak kita untuk tekun mengerjakan solat dan banyak mengingatiNya. Allah memberi jaminan; dengan solat kita dapat menjaga diri dari perbuatan keji yang merosakkan hati serta pertimbangan akal, dan menjaga diri dari perbuatan mungkar yang mamancung iman. Inilah juga fungsi solat. Pelindung dalaman dan luaran, jauh dari segala punca kemusnahan.
Dalam satu siri kuliyah Maghrib di Pulau Melaka, Tuan Guru Nik Aziz ada menyebut satu sifat yang jarang diutarakan sebagai pelengkap kepada kesempurnaan solat. Ia adalah sifat malu. Malu dengan Allah kerana masa banyak di habiskan untuk persiapan solat (wudhu', pakaian, etc) sedangkan masa yang digunakan untuk mengingati Allah di dalam solat amat sedikit. Umpama orang yang hendak menyerahkan hadiah kepada Raja; balutan hadiah sudah cukup indah tetapi isi dalamnya sangat buruk. Wajarlah dia berasa malu.
Maka malu itu juga perlu di bawa bersama-sama di luar solat. Bagi sahabat-sahabat muslimah, pakaian yang kita pakai sepatutnya pakaian yang sama juga untuk di bawa bersolat. Jadi jika anda tahu anda memerlukan pakaian lain untuk solat kerana bimbang solat tidak sah jika menampakkan aurat. Berdosalah jika kita masih tidak malu memakai pakaian yang sama di luar solat. Bimbanglah kalau-kalau iman ynag tidak sah. Malulah dengan Allah.
Allah amat ingin agar hambaNya memperlihatkan bekas nikmatNya atas dirinya. Masihkan kita ingin mengabaikan atau menafikan tanda kasih Allah ini? Tepuk dada soal iman.
No comments:
Post a Comment