Tuesday, April 28, 2009

BERMAIN DENGAN CINTA


Sudah lama penulis berfikir mencari-cari bahan untuk post kali ini. Melihat sahaja remaja-remaja dan sahabat-sahabat sekeliling yang kebanyakannya hanyut dibawa arus cinta sebelum kahwin, hati rasa terpanggil untuk mencoret sesuatu. Sekurang-kurangnya menjadi ubat penenang kepada mereka yang selama ini khayal menyusun logo-logo cinta ini. Duduk membaca sejenak, berfikir dan berzikir.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
"Katakanlah- wahai Muhammad, jikalau engkau semua mencintai Allah, maka ikutilah saya, tentu engkau semua dicintai oleh Allah, serta Allah mengampuni dosamu semua dan Allah itu adalah Maha Pengampun lagi Penyayang"
[ali-lmran: 31]


Cinta adalah antara perkara yang paling susah untuk dihuraikan. Tidak perlu di takrifkan apa makna cinta tetapi yang pasti ia terlalu
complicated. Cinta itu keutamaannya kepada Allah; Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Rasul kekasihNya. Namun, ia juga harus disalurkan pada makhlukNya yang lain. Sejauhmana ia diaplikasikan dalam hidup, sejauh itulah yang membezakan 'tanggungjawab cinta' dan 'permainan cinta'. Satu yang membawa ke syurga dan satu lagi membawa ke neraka.

Penulis tahu ramai yang seronok apabila berbicara mengenai cinta. Senyuman pasti terukir. Cinta antara dua jantina khususnya. Masakan tidak, cinta fitrah setiap insan, telah dititipkan oleh Allah Taala ke dalam hati hamba-hambaNya sejak azali. Menjadi keperluan dan kehendak. Malah, bila ada sahaja buku atau artikel yang berkaitan dengan CINTA, banyak hati akan tertarik untuk membacanya. Betapa besarnya kuasa cinta.


Cinta boleh hadir dalam semua keadaan, bila-bila masa dan dimana jua. Ketepikan dahulu soal cinta kepada keluarga, guru-guru atau sahabat handai kerana perbincangan kali ini cuba difokuskan hanya pada permainan cinta. Mana mungkin cinta pada mereka ini hanya 'suka-suka' sahaja.

Sekarang ini kita boleh lihat berbagai golongan yang galak bermain cinta. Bermacam-macam cara. Ada yang terang-terangan mengisytiharkan cinta 'suci' mereka, bangga seolah-olah di dunia ini cinta mereka yang paling hebat. Mereka lupa dalam bercinta juga ada undang-undang yang telah ditetapkan oleh Pemilik sebenar cinta.

Ada juga golongan yang sorok-sorok bermain cinta, bimbang menjadi buah mulut jika diketahui orang lain. Hanya sms, messenger atau email yang menjadi wasilah. Mungkin kerana menghidapi syndrom yang sama dengan golongan terdahulu. Lupa ada Tuhan yang melihat setiap perilaku itu.

Minda penulis lebih 'sesak' bila ada dari golongan yang 'tahu agama' terjebak dalam permainan ini. Jika begini halnya, seolah-olah iman itu tidak berhak masuk campur dalam hal cinta. Jika iman itu jenis yang pakai buang, pasti iman itu akan dilucutkan seketika. "Iman, kau duduk kat situ sekejap ye. aku nak bercinta".

Hakikatnya, semua itu adalah permainan. Boleh dicuba-cuba. Jika rasa suka, boleh terus bermain sehingga puas. Jika sebaliknya, boleh tinggalkan sahaja. Apabila sampai satu masa badan akan penat bermain. Pada masa itu, walau sehebat mana pemain itu, pasti mahu bersara. Itulah adab permainan.

Selagi masih ada perasaan untuk bermain-main dengan cinta selagi itulah kita dipermain-mainkan oleh nafsu dan syaitan yang sentiasa mencari peluang untuk membawa manusia jauh dari jalanNya. Menyebabkan cinta yang asalnya suci itu ternoda dan tiada harga nilainya lagi. Jika mahu bahagia, jangan main-main dengan cinta.

Samada sedar atau tidak, di setiap bahu anak cucu Nabi Adam sudah di tugaskan malaikat sebagai polis dan pengawas cinta, melapor setiap amal buat hambaNya. Carilah penasihat cinta yang 'alim, supaya tidak terus bergelumang dengan dosa ini.



Belum terlambat untuk bungkus kembali rasa cinta itu. Balutlah ia dengan balutan cinta suci Si Pencipta Agung. Serahkan kunci ruang hati itu pada Allah. Hanya Dia yang tahu bila dan untuk siapa yang layak. Berdoalah moga cinta yang tersimpan itu tidak lerai sebelum sampai masanya.

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah oranag-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuria keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikan kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."
[Al Furqan:074]

Friday, April 24, 2009

SOLATKU HIDUPKU...


'Ibadah solat merupakan antara urusan yang paling besar yang di sisi Allah Taala. Setiap kali solat, kita bersumpah di hadapan Allah untuk menyerah diri sepenuhnya padaNya. Menjadi hamba abdi Allah. Itulah yang kita ucapkan setiap kali solat.

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
لا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

" Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan
matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (diantara seluruh umatku) adalah orang islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan yang menurut perintahnya)
" [Al An'am:162-163]

Namun seringkali terjadi, sumpah ini tinggal sekadar bacaan biasa, mencukupkan syarat sebagai permulaan bacaan di dalam solat. Terucap hasil dari gerakan lidah, tanpa kawalan dari hati mahupun kesedaran akal fikiran. Tiada pernah berfungsi. Atau mungkin, lebih menyedihkan apabila si pelaku sendiri tidak sedar dengan apa yang sedang diucapkan.

Ini kisah manusia yang tidak pernah 'miss' solat fardhu, belum lagi masuk mereka yang solat bila teringat, atau bila di ajak, atau mereka yang solat dua kali setahun. macam-macam lagi kekurangan akan muncul.

Jauh di lubuk hati, penulis agak malu sebenarnya membincangkan hal ini memandangkan solat sendiri juga amat banyak cacat celanya. Tidak mahu dilabelkan 'cakap tak serupa bikin', bimbang membawa fitnah pada agama yang dicintai. Namun atas dasar ingin 'membawa fikir' dan bersama-sama bermuhasabah, ia harus di ketengahkan. Agar bertambah baik mutunya selagi hayat masih di badan.

Apa fungsi solat sebenarnya? Adakah cukup dengan menjawab "Solat itu wajib sebab Allah yang suruh. kalau tinggal berdosa besar", ataupun "aku takut tinggal solat, kalau tinggal, neraka paling dalamlah jawabnya".

Penulis masih ingat, semasa kecil kami adik-beradik sering dimarahi ayah kerana lalai dalam solat. Beliau paling tegas dalam bab yang satu ini sehinggakan jika tidak solat berjemaah di masjid pun akan dirotan. Setiap waktu solat, sebelum ke masjid beliau akan 'warning' anak-anaknya dan selesai sahaja beri salam beliau akan berpaling ke belakang membilang semua anak lelakinya dalam kelompok jemaah masjid. Walau seorang sahaja tiada di situ, beliau terus pulang ke rumah untuk meninjau dan menghukum, dan barulah kembali semula ke masjid untuk mendengar kuliyah.

Ibu pula mengawal kami anak-anak dari belakang. Anak-anak perempuan dipastikan ke masjid bersama-sama. Rutin ibu sebelum mengangkat takbiratul ihram, beliau akan mengintai melalui celahan dinding masjid meninjau aktiviti anak-anak lelakinya ketika jemaah yang lain sedang khusyu' bersolat. Walaupun ibu tidak pernah menghukum kami, tetap jika ada yang 'buat hal', siap sedialah kami menanti hukuman dari ayah. Ayah selalu cakap "kalau kamu tak nak jaga solat sekarang, siapa akan jaga kamu nanti?"

Kisah di atas adalah sekadar perkongsian. Yang baik jadi teladan, yang buruk jadikan pengajaran. Daripada pengalaman dibesarkan oleh seorang ayah yang 'bekeng' dalam mendidik anak-anak, latihan untuk menjaga solat itu telah memberi sedikit jawapan kepada persoalan fungsi sebenar solat.

Islam agama sempurna. Bersolat dengan penuh khusyu' adalah tingkat yang amat susah untuk dicapai. Ia memerlukan ketaatan, kesabaran serta usaha yang berterusan. Inilah fungsi solat; mendidik untuk mentaati, melatih untuk sabar, dan menggerak diri untuk berusaha lagi sehingga matlamat dicapai.

Firman Allah Azzawajalla:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ الْكِتَابِ وَأَقِمْ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhamad) akan apa yang di wahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahnyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." [Al 'Ankabut:45]

Di sini, Allah mengajak kita untuk tekun mengerjakan solat dan banyak mengingatiNya. Allah memberi jaminan; dengan solat kita dapat menjaga diri dari perbuatan keji yang merosakkan hati serta pertimbangan akal, dan menjaga diri dari perbuatan mungkar yang mamancung iman. Inilah juga fungsi solat. Pelindung dalaman dan luaran, jauh dari segala punca kemusnahan.

Dalam satu siri kuliyah Maghrib di Pulau Melaka, Tuan Guru Nik Aziz ada menyebut satu sifat yang jarang diutarakan sebagai pelengkap kepada kesempurnaan solat. Ia adalah sifat malu. Malu dengan Allah kerana masa banyak di habiskan untuk persiapan solat (wudhu', pakaian, etc) sedangkan masa yang digunakan untuk mengingati Allah di dalam solat amat sedikit. Umpama orang yang hendak menyerahkan hadiah kepada Raja; balutan hadiah sudah cukup indah tetapi isi dalamnya sangat buruk. Wajarlah dia berasa malu.

Maka malu itu juga perlu di bawa bersama-sama di luar solat. Bagi sahabat-sahabat muslimah, pakaian yang kita pakai sepatutnya pakaian yang sama juga untuk di bawa bersolat. Jadi jika anda tahu anda memerlukan pakaian lain untuk solat kerana bimbang solat tidak sah jika menampakkan aurat. Berdosalah jika kita masih tidak malu memakai pakaian yang sama di luar solat. Bimbanglah kalau-kalau iman ynag tidak sah. Malulah dengan Allah.

Allah amat ingin agar hambaNya memperlihatkan bekas nikmatNya atas dirinya. Masihkan kita ingin mengabaikan atau menafikan tanda kasih Allah ini? Tepuk dada soal iman.

Thursday, April 23, 2009

Volgames 2009: Pembudayaan Riadah Berlandaskan Syariah

Fair Play And Cover Your Aurat
Pelihara Aurat Tertib Muamalat, Refleksi Jiwa hambaNya yang Taat


"Kempen menyokong penuh penganjuran Volgames 2009 dan berpendapat bahawa sekiranya ia dianjurkan dengan penuh adab ketimuran dan memenuhi segala batas syara' maka ia memberi nilai tambah yang wajar kepada acara tersebut sendiri. "


Wednesday, April 22, 2009

KENA PANDANG BELAKANG!

الَّذِي أَحَلَّنَا دَارَ الْمُقَامَةِ مِنْ فَضْلِهِ لا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ

"Tuhan telah menempatkan kami ditempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu"

Alangkah beruntungnya mereka yang berjaya masuk dan tinggal di 'Daarul Maqamah'. Telah dijanjikan Allah; tidak akan merasa penat dan tidak lelah. Jika ditawarkan, penulis yakin tiada siapa yang akan menolak. Namun ia bukan semudah yang disangka. Kesenangan itu telah di janjikan kepada hambaNya yang taat, sanggup menghadapi cabaran musuh Allah dan menolak kesenangan dunia.

Allahurabbi ighfirly warhamny.

Penulis agak penat sebenarnya. Bilamana badan dipaksa mengikut kehendak jiwa, jiwa selalu menang. Ia seolah-olah rutin tahunan penulis sejak berada di bumi empat musim ini. Dalam proses mengadaptasikan diri dgn musim panas yang semakin hampir, penulis cuba untuk menahan mata dari lelap sehingga usai fardhu subuh. Bimbang-bimbang ter'subuh gajah', lebih baik penulis jadi 'burung hantu'. Jangka masa yang terlalu singkat antara 'Isya dan subuh adalah suatu cabaran besar bg pelajar-pelajar malaysia di sini.

Tetapi bila membaca ayat ini, semangat baru datang dengan serta merta. Kuasa kalam Allah, siapa yang berani mencabar.

Ruang masa harus di isi. Rasanya, mata dan minda penulis sudah banyak bekerja sepanjang hari semalam. Otak penulis cuba memikirkan sesuatu yang boleh me'rilek'kan. Hati memang teringin menghidang sesuatu yang baru dalam blog ini tapi minda masih kosong. idea 'null'.



Di saat-saat begini, penulis teringat ketika berada di'Taman Ilmu dan Budi' Bandar Indera Mahkota, bersama sahabat-sahabat mengulangkaji pelajaran di KOM sehingga lewat malam dan kadang kala membawa ke pagi. Dan penulis tahu, sahabat-sahabat ini masih dengan tabiaat ini. Mungkin kami jauh terpisah tapi hati-hati kami masih rapat tidak berubah. Indahnya ukhwah yang terbina keranaNya dan penulis amat menghargainya.

Bersahabat biar beribu, bermusuh jangan satu. itu pepatah lama yang harus dipegang. Tetapi tidak berbaloi andai kita bijak mencari sahabat tetapi tidak pandai menghargai sahabat. mungkin secara tidak sedar kita mengundang musuh. Kawan bertukar jadi lawan. Harus beringat!

Di dalam kitab Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan, Sheikh Said Hawwa ada menyatakan bahawa orang-orang yang saling mencintai dan bersaudara karana Allah harus sentiasa memerhatikan beberapa perkara. Pertama, mahabbatullah itu adalah sebagai cinta kerana Allah Ta'ala, saling mengunjungi kerana Allah dan saling memberi harta kerana Allah.

Kedua, mahabbah kerana Allah itu hanya akan wujud setelah kepentingan peribadi di ketepikan. Allah berfirman : "
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" [Al'Ashr:1-3]

Ketiga, persaudaraan kerana Allah Azza wajalla tidak akan berlansung lama kecuali jika dilandasi dengan taqwa dan akhlaq."
Pada hari itu sahabat-sahabat karib; setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)" [Az Zukhruf:67] .

Keempat, persaudaraan kerana Allah dapat berlansung lama hanya dengan menjaga rahsia saudaranya, tidak ghibah serta kamu menunaikan haknya. Daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi saw bersabda: "
Sesiapa yang berusaha untuk menunaikan hajat saudaranya, sesungguhnya Allah akan menunaikan hajatnya juga. Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan yang menimpa seorang muslim, Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan di hari khiamat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di hari kiamat" [riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Betapa besarnya tugas dan sukarnya untuk menjadi sahabat yang sebenar-sebenar sahabat. Penulis melihat, hubungan mahabbah yang ada diantara hati-hati ini memerlukan penelitian yang rapi untuk membuahkan ukhwah seperti yang dianjurkan.

Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a., Nabi saw bersabda: "
Orang yang bergaul dengan orang yang soleh dan orang yang bergaul dengan orang yang jahat ibarat orang yang membawa kasturi dan orang yang menghembus alat menyalakan api. Orang yang membawa kasturi, samada ia memberikannya kepada kamu, atau kamu membelinya, atau mendapat bau yang baik. Manakala orang yang meniup alat menyalakan api, sama ada ia akan membakar pakaian kamu atau mendapat bau yang busuk" [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Penulis sering mengingatkan diri sendiri, dalam bersahabat jangan hanya memandang ke depan. Mahabbah itu akan terzahir dengan sendiri bilamana ada sahabat dibelakang terjatuh atau ketinggalan jauh dibelakang, kita masih sedia menoleh, hadir menghulurkan tangan dan bersama-sama mara ke hadapan. Jadi, penulis kena sentiasa juga pandang belakang!

Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah bergaul dengan orang-orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya. (Hamka)

Monday, April 20, 2009

HADIAH TERISTIMEWA



إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya" [Al Hijr:009]

"Assalamu'alaikum kak ma. Selamat hari lahir. Moga kak ma hidup sene dunia akhirat. Muttaq ado adioh spesel ko kak ma tahun ni" suara gembira adinda bongsu penulis memulakan bicara.

"Gapo tu? heee.. sukonyo ado present jugok tuo-tuo neh"

"Alhamdulillah kak ma. Muttaq rasmi doh habiskan 30juzuk. Kak ma doa ko muttaq sokmo deh, bia Quran hok Muttaq hafaz ni lekat dale ati sokmo. Bulih jago Muttaq nge kuargo (keluarga) kito"

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar! Segala puji penulis kembalikan pada Allah, Tuhan yang Maha Agung. Hati penulis terlalu gembira. Tercapai juga cita-cita adinda penulis menjadi untuk menjadi Al-Hafiz.

"Alhamdulillah. Mabruk! Timo kasih. spesel sungguh hadiah muttaq ko kak ma tahun ni. pahni namo muttaq jadi Nik Ahmad Mumtaz Al-Hafiz la. hehe... Che Ayoh suko la ni"

"Dulu sedih jugok la sebab dulu janji nge kak ma nak perabih tahun lepah tapi..."suara adinda penulis mula sayu.

"Muttaq, kita bleh plan jah. Allah ken hok tentukan sumo. hok nok soh perabih dale maso 3 tahun tu supaya muttaq ado target. Kalo dop gak ghalit sokmo kito. loni muttaq keno syukur banyok sebab abeh doh hafaz Quran 30 juzuk. hmm.. mebi hikmah muttaq abeh lewat sikit sebab nok tunggu jadi hadioh ko kak ma tahun ni. hehehe "

"hahahahaha...." tawa adinda

"hok petingnyo, loni muttaq jaga hafazan tu. ngule sokmo. ghajin-ghajin tasmi' nge amad ko abe aziz ko. terus jadi imam kat masjid. InsyaAllah bleh gati ayah ziz ni besa seksok. bule poso ni takyoh jadi ime masjid lain la muttaq deh, amek contract jadi ime pulau melako jah... hehehe"

Moga Allah rahmati berkati hidup para huffaz. Harapan pada semua agar sama-sama dapat beramal dengan segala apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Inna solaati wa nusuki wa mahyaaya wa mamaati liLLahi Rabbil 'alamin.

"Dan kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kita (Al-Quran) dengan membawa kebenaran. untuk mengesahkan benarnya Kitab-Kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum diantara mereka (ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan jangan lah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran.

Bagi tiap-tiap umat yang ada diantara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agam (yang wajib diikuti oleh masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu ummat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan bermal soleh). Kepada Allah jualah kembali kamu semua, maka Dia akan membritahu" [Al-Maidah:048]

When you happy, you bring the happiness to others

Sunday, April 19, 2009

JUST BE UNEXPECTED!


"Tak sangka ya awak dah begitu banyak berubah. dulu awak pendiam tapi sekarang cakapnya berkobar-kobar. semangat!"


"Betul ke ko ni A? Dulukan ko selalu cakap kat aku tak nak jadi 'geng jalan tunduk'"

"Eii.. tak sangka ya hang dah pakai tudung litup. Ade ustaz juga kat rusia tu?"

"Eh oghe rusia tok tengok pelik ko bilo mu paka paka baju kurung nge tudung labuh sokmo?"

"mu paka ppioh (kopiah) g kkelah? 'cap' takdop ke cap? takdop oghang hok sanggup paka supe mung ni "

Mungkin kita pernah hadapi situasi begini. Berhadapan dengan kawan-kawan atau saudara-mara yang terkejut dengan perubahan diri. Kita menjadi seorang yang 'tidak disangka'.

Penulis hairan dengan manusia sekarang, merasa pelik bila kawan jadi baik tapi tidak kesah bila kawan berubah jadi jahat. Hmm.. Biarkan mereka sementara waktu.


Menjadi 'unexpected person' bukanlah bermaksud menjadi seorang manusia 'pelik'. Tetapi apa yang ingin penulis sampaikan adalah, berfikirlah dan kreatiflah dalam membentuk peribadi dan akhlaq. Begins with 'unexpect' may bring someone to be a 'unique' one. lagi pula,
unexpected doesn't mean unaccepted!

Fitrahnya setiap manusia diciptakan oleh Allah berlainan sifat dan perilakunya. Namun kita dianugerahkan Al-Quran dan RasulNya sebagai panduan pembentuk setiap perilaku manusia, supaya seseorang itu tidak terpesong jauh dari batas dan landasan.

Allah Azzawajalla berfirman, "
Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sesekali akan melepaskan diri dari balasan Allah (walau dimana sahaja kita berada) di bumi dan kita juga tidak sesekali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun)" [Al-Jinn:11-12]

Hijrahkan diri dengan cara luar biasa. Bentuk peribadi dengan cara yang tidak dibuat orang. Dengan kata lain, be unexpected! Penulis lihat ia sebagai self-motivation, Momentum kepada anjakan paradigma dalam perkara yang jarang dibuat orang. Pesan penulis, tidak perlu malu menjadi lain dari yang lain selagimana anda benar disisiNya.

Cara luar biasa? tidak dibuat orang? penulis nak bawa benda baru dalam agama? tidak jadi bid'ah kah?

Tidak!!! Bukan maksud penulis mengajak sahabat pembaca beramal dengan perkara yang tidak diajar baginda Rasulullah s.a.w. Minta jauh dari kesesatan bid'ah.

Apa yang ingin penulis sampaikan di sini adalah, mengajak sahabat pembaca mengamalkan balik amalan baik dan akhlaq yang yang sudah lama ditinggalkan. Amalan-amalan baik yang dipandang pelik jika dibuat pada masa kini. Penulis yakin the 'expected' result adalah mendapat ridha dan barakah Allah. InsyaAllah.

Allah Taala berfirman; “
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [ar-Ra’d:11]

Kepada sahabat-sahabat yang telah berjaya membawa perubahan dalam diri, syabas penulis ucapkan. Begitu besar ganjaran Allah pada mereka yang 'berhijrah' keranaNya. Kepada mereka yang berazam dan dalam proses untuk perbaiki diri, teruskan usaha kalian. Allah itu Maha Penerima taubat, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

"
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami(yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalanya" [Al 'Ankabut:069]

Bagi penulis, sikap manusia yang tidak mahu berubah atau takut untuk berubah (kepada kebaikan) merupakan sebab utama menuju 'dungu'.

How you act is who you become.

KISAH SI PENCINTA BLOG




"
Kak ma... bilo nok merioh blog kak ma ni? adik tengok mace lamo tok berupdate ni? mace lamo doh tok masuk ...." tanya adinda penulis dengan nada tidak puas hati.

"err...." itu sahaja yang terkeluar dari mulut penulis.

"ma ada blog jugak kan? bagi adress blog ma. kak ac nak wat link kat blog kak ac ni" desak seorang sahabat baik penulis melalui YM.

"err...." sekali lagi jawapan itu yang terpancul dahulu.

memang benar, sabda Rasulullah yang mafhumnya berbunyi, setiap amalan itu bermula dengan niat. Tetapi penulis seolah lupa dengan niat yang terbit suatu ketika dulu, mungkin itulah sebabnya penulis tidak dapat istiqamah.

Penulis teringat ketika kali pertama penulis mendaftar akaun blog. Ketika itu semangat untuk memiliki blog sendiri memang sangat berkobar-kobar. Ditambah pula, memang ia azam sejak di matrikulasi, hanya memendam rasa kerana mendahulukan akademik yang masih belum betul-betul stabil.

Bermula dengan Blogdrive.com sebagai domain, penulis mulakan langkah mengasah minat menulis. hanya beberapa kali posting, penulis beralih ke wordpress kerana merasakan domain yang pertama agak 'lembab'.

ketika pulang bercuti ditanah air, adinda penulis rekomenkan blogspot pula. maka sekali lagi penulis beralih ke domain yang lain.

itu kisah satahun yang lalu. penulis hanya sempat posting sekali sahaja di blog terbaru ini. setelah kembali ke volgograd, penulis lupa dengan semua itu. mungkin kerana kesibukan belajar dan aktiviti-aktiviti sampingan lain yang tidak pernah putus.

hari ini, penulis masuk ke blog ini. melihat-lihat sambil menyapu segala 'sawang dan debu' lama. memang benar kata adinda penulis, blog ini sudah terlalu lama tidak dilawati.


dan... azam penulis kali ini adalah untuk berjinak-jinak kembali dengan dunia yang telah lama ditinggalkan. mengikis segala karat yang semakin menebal diotak ini.

moga segalanya berjalan lancar.

"
Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaanya" (Al-Lail:004)