Monday, October 5, 2009

TERKORBAN DIPERANTAUAN


Penulis memandang sekeliling. Suasana sambutan hari raya di Dewan Hiroshima hari ini begitu meriah dengan gelak tawa ceria pelajar-pelajar Malaysia. Masing-masing mengembirakan hati sendiri, sekurang-kurangnya boleh mengubat rasa rindu pada keluarga yang teramat jauh dari mata. Diri ini juga cuba melakukan perkara yang sama.

Penulis melihat lagi kearah setiap wajah yang berada hampir dengan penulis. Meneliti dan berfikir lagi. Dalam usia yang sebegini muda, jasad-jasad ini telah ditaqdirkan oleh Allah untuk berada jauh dari tanah air. Jauh dan luar dari kawalan keluarga.

Maka, samada sedar atau tidak,mereka (kita) sebagai pelajar, sebenarnya sedang memegang satu tanggungjawab yang teramat besar, iaitu menentukan hala tuju hidup. Hidup dikedua-dua alam; Dunia dan Akhirat. Dalam tempoh enam tahun ini proses mencorak hidup berada ditangan sendiri. Mencabar bukan?

Berdikari atau Bebas

Ramai ibubapa yakin, melepaskan anak-anak pergi merantau jauh ke negeri orang akan dapat melatih mereka untuk hidup berdikari. Harapan mereka supaya anak-anak ini terus berjaya, pulang dengan kegemilangan. Sudah belajar di sekolah terbaik, sudah dapat keputusan yang cemerlang dalam akademik, masakan masih tidak pandai menguruskan diri sendiri? Hidup kena berdikari.

Kita sendiri sebagai anak bagaimana? Jika dirumah, walaupun masih ada demokrasi dan toleransi, namu ibu bapa masih mempunyai kuasa veto menentukan hala tuju seisi rumah. Lain halnya jika sudah berada di luar, mak ayah sudah jauh, adakah kita masih lagi mahu dibelenggu dengan sekatan-sekatan yang ibu bapa mereka tetapkan? Fikiran anda bagaimana?

Bagi penulis, peluang belajar jauh diluar negara sebenarnya memberikan kita kebebasan sepenuhnya. Betul atau tidak?

Bila sahaja melangkah ke balai perlepasan, bermakna ibu ayah sudah tidak ada kuasa keatas kita. Ya, nasihat boleh, tetapi samada mahu ikut atau tidak, bergantung pada diri kita sendiri. Kita sudah lepas. Bebas.

Cabaran

Pengalaman banyak mengajar penulis. Berada diluar negara selama hampir empat tahun telah membawa banyak peristiwa singgah dalam hidup penulis. Ada tauladan, ada sempadan.

Bercakap soal cabaran, ramai pelajar akan merungut kerana susahnya belajar, terpaksa bersaing dengan mereka yang jauh lebih hebat dari mereka, suasana yang tidak begitu kondusif untuk belajar, atau pun pensyarah-pensyarah tidak pandai mengajar. Itu semua adalah antara cabaran-cabaran yang terpaksa kita, pelajar-pelajar hadapi bagi memastikan kita tetap terus mengecap kejayaan dalam pelajaran.

Mungkin ramai yang tidak sedar, kita terlalu asyik menjaga soal kejayaan dalam pengajian sehingga lupa akan cabaran yang mengganggu-gugat keperibadian kita. Syakhsiah diri, akhlaq dan adab sopan yang dibentuk sedari kecil terhakis sedikit demi sedikit. Terkorban peribadi dan indentiti diri. Kita muslim khususnya.

Suasana sekeliling adalah antara cabaran yang harus dihadapi oleh semua pelajar. Mahu tidak mahu, kita harus berada di dalam suasana itu. Penulis tidak bimbang jika suasana itu suasana yang positif, ada bi'ah solehah seperti ditimur tengah yang kebanyakannya menjaga agama dan perilaku . Yang dibimbangi adalah suasana yang negatif. Tiada istilah dosa dan pahala. Tidak mengenal batasan halal dan haram dalam semua perkara. Pembawakan diri bergantung sepenuhnya pada diri pelajar itu sendiri. Samada berusaha melawan arus, atau sekadar bertahan, atau terus hanyut mengikut arus.

Sebagai langkah berjaga-jaga, cuba bandingkan diri kita sekarang dengan dengan diri kita pada ketika kali pertama kita melangkah keluar negara. Jika ada dikalangan pembaca adalah emak atau ayah, kakak atau abang, cuba lihat perbezaan anak atau adik kita yang dahulu dengan yang sekarang. Ada perbezaan?

Jika ketara yang tidak baiknya, maka kita kena mula ada rasa bimbang. Langkah yang bijak perlu diusahakan yang agar tidak ada perkara yang lebih besar akan terkorban.

Tetapkan matlamat yang benar dan jelas


Kerana cabaran, kerana kebebasan, kerana hilang panduan diri, ramai pelajar (kita) terkorban. Bukan nyawa yang hilang, tetapi jiwa, ruh, peribadi yang terkorban. Kita menjadi bukan kita.

Bagaimana cara untuk mengelak dari menjadi mangsa korban? Ada satu cara. Tetapkan matlamat.

Matlamat punya pengaruh yang amat besar. Kita cipta matlamat dan letakkan dalam otak minda fikiran kita supaya dapat mengawal setiap tindakan dan keputusan yang kita buat. Jika kita tersedar tindakan kita melencong sedikit dari matlamat, kita terus kembali ke jalan yang membawa kita sampai pada matlamat itu.

Kata Olga Victorovna, Pensyarah Neurology penulis, "otak manusia mampu menjadi penggera semulajadi. Tidak perlu kepada jam loceng yang hebat untuk mengejutkan manusia dari tidurnya. Jika dalam fikirannya sudah berazam mahu bangun pukul 4 pagi, maka tepat jam 4 pagi, dia akan sedar dari tidur dengan sendirinya". Subahanallah.

Anda sedar apa matlamat anda selama anda hidup ini? Penulis sudah punyainya.

Kenapa bila kita kata pada diri, "Aku mahu berjaya dengan dengan cemerlang pada peperiksaan kali ini!", kita akan senang hati berusaha melakukan yang terbaik dalam pelajaran? Kenapa setelah kita pasang niat untuk berjaya, kita tidak lagi bermalas-malasan untuk belajar? Hadir setiap kuliyah dan menghapuskan segala alasan yang menghalang niat kita. kenapa?

Kerana ketika itu kita ada matlamat. Kita jelas dengan matlamat itu. Mustahil kita boleh berjaya jika ulangkaji masih dalam keadaan malas-malas. Mustahil kita boleh cemerlang jika masih dengan alasan tiada masa untuk belajar. Kata pepatah melayu, "hendak seribu daya, tak nak seribu dalih". Ingat lagi?

Benarkan matlamat

Sekarang, kita ubah matlamat kita itu. Katakan, "Aku mahu jadi hamba Allah yang berjaya, bukan setakat didunia, bahkan diakhirat juga!".

Walau kemana sahaja kita merantau, dimana sahaja kita tercampak, yang dicari adalah redha Allah.

Kekalkan matlamat itu. Bergeraklah mengikut matlamat yang telah ditetapkan.

Kita bukan lagi mangsa kejahilan.

Allah tujuan kita. Allah jua yang melindungi kita.

Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu.
[Al-Muzzammil:009]

6 comments:

  1. btol2..
    rmi yg dh trkorban..
    dh 3thn dok kt luar ngr..
    rmi kwn2 yg dh trkorban..
    syukur belum trmasuk diri ini..
    tp msh cuba utk mnghidupkn kmbali yg tlah trkorban..
    insyaAllah..
    bi iznillah..

    ReplyDelete
  2. =)

    moga dipermudahkan usaha ahmed. ameen.

    ReplyDelete
  3. Salam Kak... Lama x dengar KhabaR.. Semoga sihat-sihat selalu.. :-)

    ReplyDelete
  4. salam afifi... Alhamdulillah ok je semua... moga sihat selalu jg.. ^^v

    ReplyDelete
  5. ye betul..pengalaman bnyk mengajar kte erti kehidupan..tmbh2 belajar kt tmpt orng..hati kne cekal,iman kne kuat..klu x mmg hancur la.huhu

    ReplyDelete
  6. syukran syahbandar87 krn sudi respon...

    pengalaman sentiasa memberi pengajaran. melalui pengalaman hidup, mcm2 yg kita dpt lihat.. bila dah tau yg xbaiknya, kn warning pd org lain spy xbuat perkara yang sama..

    kita sama2 beringt..

    ReplyDelete