Friday, September 18, 2009

HARAPAN DIAKHIR RAMADHAN


Malam ini merupakan malam terakhir bersama Ramadhan. Sepatutnya, apabila tamat menjalani latihan di madrasah Ramadhan, bermakna kita manusia sudah berjaya kembali ke fitrah asal kejadian manusia yakni beriman dan bertaqwa kepada Allah Taala. Firman Allah:


Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertaqwa.

(Puasa yang diwajibkan itu) beberapa hari tertentu. Sesiapa antara kamu sakit atau musafir (haruslah berbuka) dan wajib digantikannya pada hari-hari yang lain. Orang yang tidak berdaya berpuasa , wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang miskin. Sesiapa yang bersukarela melakukan kebajikan (membayar fidyah lebih daripada yang ditentukan) maka itu lebih baik baginya , dan jika kamu berpuasa adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.

Firman Allah, Dalam bulan Ramadhan diturunkan al Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu. Sesiapa yang sakit atau musafir (diharuskan berbuka) hendaklah menggantikannya pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. Hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa dan hendaklah kamu mengagungkan Allah kerana memberi petunjuk kepada kamu, semoga kamu bersyukur.

[Al-Baqarah 2:183-185]

Adakah kita benar-benar berjaya mencapai tujuan yang Allah maksudkan? Wallahua’lam.

MAGHFIRAH DAN PERUBAHAN DIRI

Ramadhan bulan keampunan. Di bulan ini, kita telah dianugerahkan ruang sepenuhnya untuk menyucikan jiwa dari segala dosa dan noda selama setahun ini, atau mungkin terkumpul sejak dari umur baligh.

Hampir tiga puluh hari ini, kita berlumba-lumba melakukan kebaikan. semata-mata demi mendapatkan maghfirah (keampunan) dan ganjaran pahala yang dijanjikan berlipat kali ganda.

Maka, walaupun Ramadhan sudah berakhir, harapan kita adalah untuk terus mendapat maghfirah Allah, dan dapat terus mendampingi Tuhan pencipta. Terus berdampingan dengan Allah dalam keadaan jiwa yang suci bersih.

Selain itu, Ramadhan mengajar kita kaedah mendorong jiwa kembali mengingati Allah dengan cara yang berlainan. Cara untuk berfikir tentang kebanyakan nikmat seperti kenyang, kaya, kuat dan sebagainya. Ia mengubah cara dan haluan berfikir tentang nikmat-nikmat itu. Diajak berfikir tentang nikmat kenyang melalui berlapar (berpuasa). Diajar berkongsi kekayaan dengan kewajipan zakat dan galakan untuk banyak sedeqah.

Sampai ke satu tahap, dorongan jiwa untuk berfikir tentang nikmat-nikmat kurniaan Allah ini membawa pada kita rasa syukur dan taqwa. Itulah sebenar-benar tujuan berpuasa. La’allakum tasykuruun. La’allakum tattaquun.

Semoga dengan ibadah puasa (dan ibadah-ibadah lain) di bulan Ramadhan ini, kita berjaya mengekalkan perubahan dalam kehidupan diri, seterusnya membawa perubahan dalam hidup masyarakat islam keseluruhannya.

Mari terus bertaqwa. Mari terus bersyukur.

TaqabbalaLLahu minna wa minkum, Taqabbal Ya Kareem.

KEJAYAAN RAMADHAN, KEGEMBIRAAN SYAWAL

Kegembiraan Syawwal adalah kerana kecemerlangan prestasi dibulan Ramadhan. Kita perlu gembira kerana berjaya menahan diri dari makan, minum serta melakukan maksiat. Kita harus gembira kerana berjaya menundukkan nafsu syahwat. Kita patut gembira kerana berjaya melakukan amal ibadat lebih dari kebiasaan.

Ayuh, raikan kejayaan ini dengan penuh rasa keinsafan, penuh kesyukuran, penuh ketaqwaan. Mari kembali meng-Agungkan Allah. Ucapkan

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! WaliLLahil Hamd.

1 comment:

  1. salam k.ma.jzakillah.ramadhan dah sampai hari terakhirnya... moga kita menjadi individu yang baru hasil tarbiyah sebulan ni,kan.

    sukelah gbr tu. diha amik ye! sedih sebab tahun ni tahun terakhir dapat i'tikaf ramadhan di sana, masjid penuh sejarah & cinta ni^_^

    ReplyDelete