Friday, March 5, 2010

AYAH SAYA!

'Salam ma. Semalam ma janji nak buat video conference dengan ayah, tapi kenapa ma tak online pun. Ayah tunggu ma sampai pukul 12 malam lebih
. Lain kali jangan janji macam ni dengan ayah.'

Mesej ringkas dari kakak penulis tertera di skrin laptop. Penulis rasa serba-salah. Memang benar penulis ada berjanji dengan ayah untuk berkonferens jam 10 malam waktu Malaysia. Namun ia tidak seperti yang dirancang.

Selepas membaca mesej dari kakak, penulis terus membuat panggilan kerumah. Memohon maaf dari ayah dan menjelaskan perkara yang sebenarnya. Alhamdulillah ayah faham.



Hakikatnya, malam itu penulis juga ternanti-nanti panggilan dari ayah. Bila melihat waktu sudah menjangkau jam 6 petang, bermakna di tanah air sudah pukul 11 malam. Mungkin ayah tertidur, itu jangkaan penulis. Tanpa menghantar sebarang mesej, penulis membiarkan sahaja masa berlalu dengan aktivi wajib yang lain. Jika telefon ke rumah, bimbang mengganggu tidur ayah dan ibu.

Ayah

Itulah ayah penulis. Belajar komputer semata-mata ingin menatap wajah anak-anak. Kata ayah, tidak puas rasanya jika hanya mendengar suara. Jika dahulu, anak-anak dekat. Bila-bila masa sahaja boleh berkumpul.

Penulis kerap menelefon ke rumah untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu pada ayah dan ibu dikampung halaman. Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tambahan pula sekarang ini, dirumah hanya tinggal mereka berdua kerana anak-anak tinggal jauh diluar Kelantan.

Itulah kepuasan yang sebenar.


Ayah dan Ibu penulis bersama cucunda Mukhlis

Hari ini adalah ulangtahun kelahiran ayah yang ke-63. Saat ini penulis terlalu ingin berkongsi cerita tentang ayah. Sememangnya amat banyak kisah untuk diceritakan dan dikongsi bersama pembaca. Mustahil untuk dinukilkan kesemuanya, namun sekurang-kurangnya ia mampu meredakan rasa rindu penulis pada Ayah yang jauh di Malaysia.

Nostalgia

Penulis ada sebelas beradik kesemuanya; empat lelaki dan tujuh perempuan.

Ada orang tanya ayah, seronokkah ada ramai anak?

Ayah jawab, anak-anak itu anugerah Allah, amanah Allah. Bila dapat hadiah, siapa yang tidak seronok. Itulah tanda syukur ayah.

Penulis masih ingat, bagaimana rutin ayah setiap hari. Seawal jam 3 pagi beliau sudah bangun untuk persiapan diri. Seterusnya beliau akan mengejutkan ibu untuk turut bangun bertahajjud. Ayah lebih senang bertahajjud di masjid. Jarak masjid dari rumah kami hanya 20 meter.

Sebelum turun dari rumah, ayah akan berpesan pada ibu untuk mengejutkan anak-anak jam 5 pagi. Tepat jam 5 pagi, ayah mula membaca Al-Quran melalui mikrofon masjid, bagi mengejutkan penduduk kampung dari lena. Sebagaimana azan, biasanya suara bacaan Quran ini boleh didengari seluruh kampung dan kempung bersebelahan.

Usai bilal melaungkan azan subuh, ayah sekali lagi pulang ke rumah untuk memastikan kesemua anaknya sudah bangun dan bersiap untuk solat berjemaah di masjid. Ibu diamanahkan untuk mengawal anak-anak perempuan.

Selesai solat, ayah akan berpaling ke saf-saf belakang, memastikan anak-anak lelakinya ada bersama. Jika ada yang tidak datang, sekali lagi ayah akan pulang ke rumah untuk menyiasat dan menghukum.

Sesudah kuliah subuh, kami semua wajib mengaji Al-Quran bersama-sama. Ayah dan ibu akan mendengar bacaan setiap rang dari kami.

Ayah pulang dari pejabat biasanya jam 5 petang. Jam 6 petang kami makan malam bersama-sama. Setiap orang harus makan bersama-sama. Ayah sangat marah jika ada yang sengaja tidak mahu makan bersama-sama. Selepas maghrib, kami mengaji Al-Quran sekali lagi.

Penulis ingat lagi bagaimana nakalnya kami ketika dizaman kanak-kanak dahulu. Setiap malam Rabu dan Khamis akan ada kuliah Tuan Guru Nik Aziz di masjid, jadi kami akan tersangat gembira kerana malam itu kami tidak perlu mengaji.

Waktu bermain dan menonton televisyen adalah selepas solat asar sehingga jam 6 petang untuk hari persekolahan, dan ketika hujung minggu waktu menonton ditambah, iaitu selepas solat isya hingga jam 10 malam.

Ketika belajar, ayah dan ibu akan menemani kami. Kami belajar dalam keadaan duduk bersila atau meniarap sahaja di ruang tamu kerana ketika itu kami tiada meja belajar. Yang seronoknya, jika kami tertidur di situ, ayah akan mengangkat kami seorang demi seorang masuk ke bilik tidur.

Ayah sering bergurau dengan anak-anak, membawa kami berkelah atau menziarahi saudara-mara. Di waktu lapang kami diajak ke kebun untuk menebas semak samun, mencari hasil kebun atau meneman ayah pergi menembak tupai.

Arus masa terus berlalu dan sudah banyak yang berubah kerana masing-masing sudah menganjak dewasa, namun apa yang penulis perhatikan, hingga ke hari ini rutin hidup harian ayah masih sama seperti dahulu.

Mendidik

Hubungan kami sesama ahli sangat erat. Kami erat bukan kerana kami lahir dalam satu keluarga yang sama, tetapi kerana kami dididik oleh ayah untuk menjadi 'ahli' dalam keluarga.

Kami anak-anak dibesarkan dalam keadaan serba-sedarhana termasuklah tempat tinggal, makan, minum, berpakaian, dan bercakap. Bila bercakap tidak boleh tinggi suara, bila bergelak ketawa harus mengawal nada.

Sejak dari kecil, kami dididik untuk berkongsi dalam segenap perkara. Kami berkongsi satu gelas untuk sebelas beradik, berkongsi bilik malah bantal sesama perempuan dan sesama lelaki. Mungkin itu rahsianya kami menjadi rapat dan tidak berkira.

Bab agama amat di ambil berat oleh ayah. Solat wajib berjemaah di masjid. Baca Quran mesti setiap hari. Adab dengan orang tua harus dijaga. Anak perempuan wajib memakai hijab seawal umur 5 tahun. Pernah penulis dikejar keliling masjid dan diugut dibotakkan rambut kerana keluar bermain tanpa memakai tutup kepala.

Dalam pelajaran, ayah akan memastikan buku rekod kami sampai ke tangan beliau. Hanya beliau yang berhak tanda tangan pada buku rekod tersebut. Hatta ibu juga tidak berhak. Jika keputusan peperiksaan kami menurun, amaran atau hukuman menanti kami.

Ayah telah menyusun, anak yang sulung harus mendalami bidang agama. Rasional ayah, yang sulung bertanggungjawab mendidik adik-adik selepasnya dan adik-adik harus menghormati kakak yang sulung.

Cinta Tanpa Syarat

Keluarga penulis

Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa ayah penulis terkenal dengan sifat garangnya. Bukan setakat kami dirumah, malah satu kampung tahu akan sifat itu. Ayah digeruni kerana sifat garangnya, walaupun beliau juga dihormati kerana sifat pemurahnya.

Namun dalam masa yang sama, hati ayah terlalu lembut.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh menjentik anak-anaknya selain dari beliau. Malah bonda penulis sendiri tidak dibenarkan merotan kami. Dicubit peha atau ditarik telinga pun tidak boleh. Bukan bermakna kami tidak pernah dirotan. Rotan adalah hukuman kami jika tidak melakukan kesalahan, tetapi yang merotan kami hanyalah ayah.

Ayah adalah orang pertama yang menitiskan air mata jika kami bergaduh sesama kami adik-beradik. Kata ayah, dia bimbang bila sudah besar esok, kami akan bergaduh dan berpecah juga. bertapa mulianya hati ayah.

Itulah ayah. Sentiasa memikirkan kebahagiaan anak-anaknya.

Mampukan kami mencontohi ayah?

Pelukan, ciuman dan doa dari Ayah sentiasa hangat untuk kami, sedari kecil hinggalah ke saat ini.

Dalam segala kelemahan, hanya sembah syukur yang mampu penulis panjatkan pada Allah diatas anugerah seorang ayah dan ibu yang penulis miliki sekarang ini. Semoga ayah dan ibu penulis dipanjangkan umur, dikurniakan kesihatan dan kebahagian berpanjangan.

رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Ameen.

Sanah Helwah Ayah!

Terima kasih kerana mendidik kami, terima kasih kerana mempercayai kami, terima kasih kerana terus mendoakan kami.

Kami Cinta Ayah. Kami bangga menjadi anak-anak ayah.

2 comments:

  1. slm.oo ank ust nik din.rasonyo kak ank sedare tok guru la kan?.dl kecik2 slalu pergi dengar kuliah ayh kak kat dpn kdai buah kat pulai melaka tu ari selasa mlm rabu kalu xsilap..sirru ala barokatillah

    ReplyDelete