Thursday, March 11, 2010

JIHAD KASIH

Bismillahirahmanirrahim.

Ucap penulis ketika seorang ibu muda mula meneran. Dia menjerit kuat. Kali ketiga meneran, hasilnya mula kelihatan.



Subhanallah.

Semulia-mulia ucapan keluar dari bibir penulis saat melihat ubun-ubun bayi mula kelihatan dari vagina si ibu.

Ibu itu terus meneran dan meneran lagi sambil menahan sakit kerana contraction pada stage 2 delivery adalah yang paling kuat. Sekali-sekala dia berhenti seketika bagi mengumpul tenaga, dan terus cuba meneran lagi. Mukanya kelihatan pucat dan lesu, bibir kering, dan kadang-kala menjerit kerana menahan kesakitan. Segalanya harus dilakukan sendiri. Doktor dan midwife hanya mampu memberikan sokongan dengan kata-kata semangat, sambil menunggu bayi keluar.



Sedikit demi sedikit kepala bayi keluar. Bila keseluruhan kepala berjaya keluar, si ibu terus mengumpul tenaga meneran lagi untuk melepaskan bahagian bahu bayinya. Sekali-lagi dia menjerit bagi mengumpul kekuatan.

Apabila bahu bayi berjaya keluar, maka seluruh badannya akan keluar tanpa halangan. Penulis hampir mengeluarkan air mata bila melihat bayi keluar berperingkat-peringkat. Terus terbayang wajah ibu mengalami kesakitan saat melahirkan diri ini. Betapa susahnya ibu. Ia adalah pertarungan antara hidup dan mati.

Air ketuban juga memancut keluar mengiringi bayi. Doktor terus menyambut, mengelap cacair yang menyaluti bayi, dan seterusnya memotong tali pusat. Bayi itu diletakkan diatas dada ibunya untuk dibelai dan disusukan. Si ibu senyum hingga mengalir air mata, tergambar kebahagiaan dan kepuasan. Seolah-olah lupa bahawa dia pernah meraung-raung menanggung sakit.

Sambil itu, doktor menunggu placenta atau uri keluar dari rahim (stage 3), seterusnya mengenalpasti bahagian-bahagian yang terkoyak. Bahagian vagina mungkin terkoyak secara semulajadi atau artificial (episiotomy) untuk membesarkan laluan peranakan. Jika ada, proses menjahit dilakukan. Walaupun bius telah disuntik, si ibu tetap terasa pedihnya.

Satu proses yang sangat lama. Hampir 30 minit.

Pengalaman

Alhamdulillah.

Kes tadi adalah yang keempat sepanjang penulis berada di bilik bersalin di Kirovsky Maternity House. Bermula dari jam 9 malam semalam sehingga jam 11 pagi tadi.

Daripada pengalaman semalaman berada di situ, penulis berpeluang melihat sendiri bagaimana suatu proses bersalin terjadi. Mula dari dilatation of the cervix (stage 1), descent and delivery of the fetus (stage 2), sehinggalah placental separation (stage 3).



Apabila ibu telah mengalami stage 1, mereka akan ditahan di wad bersalin. Ia mungkin beberapa hari sebelum bersalin. Biasanya umur kandungan adalah setelah mencapai 38 minggu dan keatas. Penulis sempat melakukan Bimanual vaginal examination keatas dua orang ibu untuk mengukur bukaan cervix mereka.

Biasanya ibu-ibu akan diberi hormon oxytocin untuk induce proses bersalin dan mengurangkan komplikasi. Jika dilation sudah mencapai 5 sentimeter, si ibu akan di bawa ke dewan bersalin.

Ketika inilah penulis diminta untuk menenangkan si ibu kerana contraction akan datang setiap 5 ke 7 minit. Ada yang menjerit-jerit kerana sakit dan minta diberi suntikan (epidural), dan ada yang menggengam tangan penulis dengan kuatnya. Dari sini penulis dapat merasakan betapa dahsyatnya sakit yang ditanggung. Ada juga yang cuba bangun dan berjalan untuk mengurangkan rasa sakit. Sebaiknya ketika ini si ibu berehat dikatil, dan sekali-sekala menukar kedudukan. Tempoh ini mungkin berlanjutan selama beberapa jam ke 30 minit.

Setelah dilation sudah mencapai 8 ke 10 sentimeter, barulah si ibu di bawa ke meja bersalin. Ini bermakna ia sudah masuk ke stage 2 di mana contraction adalah paling kerap dan paling kuat; biasanya selama 60 hingga 90 saat, selang 2 ke 3 minit, sehinggalah bayi dilahirkan.

Begitulah satu-satu proses bersalin berjalan. Begitu susah dan memerlukan pengorbanan yang amat besar. Penulis beristighfar.

Syahadah

Apabila bayi beralih ke tangan midwife, dia segera dibawa ke meja persediaan bayi untuk menjalani beberapa prosidur perlu seperti mengukur panjang, lilit dada dan kepala, berat, kumpulan darah, Apgar assessment, suntikan vaksin dan banyak lagi.

Apabila prosidur selesai, bayi itu diletakkan dikatil bayi. Ketika ini penulis dan sahabat mengambil peluang membisikkan azan ke telinga bayi. Pada penulis, bayi itu suci dari dari segala dosa. Biar siapa pun ibubapa mereka, kalimah syahadah adalah didikan asas dan teragung untuk seorang hamba mengenal Allah Penciptanya.

Harapan penulis, moga suatu masa nanti dia diberi hidayah.

Pengorbanan tanpa syarat



Pengorbanan seorang ibu bukan hanya ketika menahan sakit saat bersalin tetapi bermula sejak bayi bertumbuh di dalam rahimnya. Selama lebih sembilan bulan ibu dengan tabahnya menahan berat dan alah, menunggu kehadiran cahaya mata lahir ke dunia.

Tidak berakhir disitu, pengorbanan itu berterusan biarpun anak-anak sudah dewasa dan punya hidup sendiri.

Besarnya pengorbanan ibu.

Tetapi, sejauh mana seorang anak menghargai pengorbanan itu?

Mari kita nilai balik dimana duduknya ibu kita dalam hati kita.

Jika pernah ada derhaka, segeralah mohon keampunan.

Doakan juga kebahagiaannya.

Moga Allah memelihara hidup hamba-hambaNya yang berbuat baik pada kedua ibubapa mereka.

No comments:

Post a Comment