Wednesday, March 31, 2010

JANGAN TAKUT SAHABATKU!


Keadaan selepas letupan di stesyen metro di Moscow.

Kelmarin, kami dikejutkan dengan berita dua pengeboman keretapi metro di Moscow. Kejadian itu berlaku sekitar jam 8 pagi, ketika orang ramai sedang bersesak-sesak memulakan aktiviti harian.

39 orang awam mati, dan beberapa orang lagi
yang dilaporkan cedera. Tiga orang pelajar Malaysia turut terlibat dalam kejadian itu.

Hari ini, berlaku satu lagi letupan bom di Moscow. 12 orang terbunuh.

Berita-berita ini membuatkan hati penulis ber'dubdab-dubdab'.

Ibu ayah, saudara-mara, dan teman-teman di Malaysia banyak menghantar pesanan ringkas menanyakan khabar kami di sini.

Alhamdulillah kami disini selamat. Volgograd masih aman.

Petang tadi pula, guru bahasa penulis mengkhabarkan, pihak polis telah mengesahkan bahawa pengebom-pengebom berani mati itu adalah dikalangan wanita. Katanya, mereka telah di'brain wash' oleh pejuang Chechen untuk berkorban atas nama jihad dan mati syahid. Pengorbanan ini adalah cara mudah untuk masuk ke syurga.

Ada riak skeptik pada wajahnya. Penulis tidak dapat mengulas panjang. Pelbagai persoalan juga bermain dibenak ini ketika itu.

Betulkah pengorbanan sebegitu dianjurkan dalam islam? Jika di Palestin, ia memang satu jihad yang besar. Syahid. Tetapi bagaimana pula hukumnya jika di Russia? Disini tiada perang. Sasaran mereka adalah orang awam. Alasan mereka adalah sebagai desakan keatas Presiden Russia supaya membebaskan negara itu dari gagasan besar Russia, dan menjadi satu negara islam yang merdeka.

Penulis benar-benar perlukan penjelasan. Jika ada dikalangan sahabat pembaca ingin berkongsi pendapat, penulis amat alu-alukan.

Islam itu Selamat

Adakan islam ini ditegak diatas mata pedang? Mestikah ada peperangan dalam menegakkan daulah islamiyyah?

Tidak. Penulis sangat pasti akan hal itu. Peperangan bukanlah satu-satunya cara, tetapi ia salah satu cara, dan ia pilihan terakhir.

Bila Allah katakan;

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Rahmat Allah disini, menunjukkan fungsi Rasulullah adalah untuk membawa mesej keamanan. Kasih Allah ini tertumpah kepada siapa? Muslim sahajakah? Tidak.

Rahmatan lil 'alamin. Rahmat ini adalah untuk seluruh manusia (yang beriman atau tidak) dan segala makhluk yang ada di alam ini.

Didalam membunuh haiwan pun ada adabnya, bagaimana mungkin membunuh manusia boleh sewenang-wenangnya?

Fitnah ini harus dibersihkan.

Berbalik kepada kejadian pengeboman tersebut, sememangnya ia memberi impak besar terhadap umat islam. Orang-orang islam (yang muslimat khususnya) sekarang ini seolah-olah dipulau, diherdik, dan ada yang diancam.

Mereka bukan islam. Mereka tidak kenal islam. Mungkin mereka takut. Mungkin mereka tidak tahu.

Apa yang kita mampu lakukan untuk mengatasinya?

Kita perlu selesaikan.

Biarkan Akhlaq menjawab

Mari kita teliti sirah Nabi Muhammad s.a.w., walaupun ajaran baginda memakan masa selama 23 tahun, namun tumpuan utamanya adalah Akhlaq, sedangkan banyak lagi perkara lain yang baginda ajarkan. Yang paling penting adalah bab 'Aqidah, selepasnya bab 'ibadah, bab rumahtangga, bab ekonomi, dan banyak lagi.

Tetapi mengapa seolah-olah akhlaq juga yang ditekankan?

Kata Rasulullah s.a.w., "Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurkan akhlaq".

Kerana apa? Apa pentingnya akhlaq?

Kerana sifat manusia yang suka melihat dan meniru. Sahabat-sahabat melihat keelokan akhlaq Rasulullah, lalu mereka tiru. Mereka berasa selamat. Rasulullah menjadi Uswah hasanah (contoh yang baik).

Apabila Rasulullah mangkat, akhlaq para sahabat ditiru oleh generasi seterusnya. Semuanya adalah kerana sifat selamat yang dibawa melalui akhlaq itu.

Justeru, biarlah orang melihat kita kerana akhlaq yang ada pada kita. Akhlaq kita dengan teman seislam dan bukan islam, akhlaq kita dengan jiran, dan sekalipun dengan binatang. Akhlaq yang kita tiru dari Nabi Muhammad. Menjadikan kita sebagai uswah mereka. Menyebabkan mereka tertarik dengan islam.

Biar mereka tahu, akhlak kita itulah islam yang sebenarnya dibawa Nabi Muhammad s.a.w.

Biar berubah persepsi mereka. Islam itu tidak ganas. ISLAM ITU PENYELAMAT.

Jadi sahabatku, jangan takut untuk terus menyarung jersi muslim.

Teruskan berbangga dengan imanmu.

Semoga Allah melindungi hambaNya yang taat.

Thursday, March 11, 2010

JIHAD KASIH

Bismillahirahmanirrahim.

Ucap penulis ketika seorang ibu muda mula meneran. Dia menjerit kuat. Kali ketiga meneran, hasilnya mula kelihatan.



Subhanallah.

Semulia-mulia ucapan keluar dari bibir penulis saat melihat ubun-ubun bayi mula kelihatan dari vagina si ibu.

Ibu itu terus meneran dan meneran lagi sambil menahan sakit kerana contraction pada stage 2 delivery adalah yang paling kuat. Sekali-sekala dia berhenti seketika bagi mengumpul tenaga, dan terus cuba meneran lagi. Mukanya kelihatan pucat dan lesu, bibir kering, dan kadang-kala menjerit kerana menahan kesakitan. Segalanya harus dilakukan sendiri. Doktor dan midwife hanya mampu memberikan sokongan dengan kata-kata semangat, sambil menunggu bayi keluar.



Sedikit demi sedikit kepala bayi keluar. Bila keseluruhan kepala berjaya keluar, si ibu terus mengumpul tenaga meneran lagi untuk melepaskan bahagian bahu bayinya. Sekali-lagi dia menjerit bagi mengumpul kekuatan.

Apabila bahu bayi berjaya keluar, maka seluruh badannya akan keluar tanpa halangan. Penulis hampir mengeluarkan air mata bila melihat bayi keluar berperingkat-peringkat. Terus terbayang wajah ibu mengalami kesakitan saat melahirkan diri ini. Betapa susahnya ibu. Ia adalah pertarungan antara hidup dan mati.

Air ketuban juga memancut keluar mengiringi bayi. Doktor terus menyambut, mengelap cacair yang menyaluti bayi, dan seterusnya memotong tali pusat. Bayi itu diletakkan diatas dada ibunya untuk dibelai dan disusukan. Si ibu senyum hingga mengalir air mata, tergambar kebahagiaan dan kepuasan. Seolah-olah lupa bahawa dia pernah meraung-raung menanggung sakit.

Sambil itu, doktor menunggu placenta atau uri keluar dari rahim (stage 3), seterusnya mengenalpasti bahagian-bahagian yang terkoyak. Bahagian vagina mungkin terkoyak secara semulajadi atau artificial (episiotomy) untuk membesarkan laluan peranakan. Jika ada, proses menjahit dilakukan. Walaupun bius telah disuntik, si ibu tetap terasa pedihnya.

Satu proses yang sangat lama. Hampir 30 minit.

Pengalaman

Alhamdulillah.

Kes tadi adalah yang keempat sepanjang penulis berada di bilik bersalin di Kirovsky Maternity House. Bermula dari jam 9 malam semalam sehingga jam 11 pagi tadi.

Daripada pengalaman semalaman berada di situ, penulis berpeluang melihat sendiri bagaimana suatu proses bersalin terjadi. Mula dari dilatation of the cervix (stage 1), descent and delivery of the fetus (stage 2), sehinggalah placental separation (stage 3).



Apabila ibu telah mengalami stage 1, mereka akan ditahan di wad bersalin. Ia mungkin beberapa hari sebelum bersalin. Biasanya umur kandungan adalah setelah mencapai 38 minggu dan keatas. Penulis sempat melakukan Bimanual vaginal examination keatas dua orang ibu untuk mengukur bukaan cervix mereka.

Biasanya ibu-ibu akan diberi hormon oxytocin untuk induce proses bersalin dan mengurangkan komplikasi. Jika dilation sudah mencapai 5 sentimeter, si ibu akan di bawa ke dewan bersalin.

Ketika inilah penulis diminta untuk menenangkan si ibu kerana contraction akan datang setiap 5 ke 7 minit. Ada yang menjerit-jerit kerana sakit dan minta diberi suntikan (epidural), dan ada yang menggengam tangan penulis dengan kuatnya. Dari sini penulis dapat merasakan betapa dahsyatnya sakit yang ditanggung. Ada juga yang cuba bangun dan berjalan untuk mengurangkan rasa sakit. Sebaiknya ketika ini si ibu berehat dikatil, dan sekali-sekala menukar kedudukan. Tempoh ini mungkin berlanjutan selama beberapa jam ke 30 minit.

Setelah dilation sudah mencapai 8 ke 10 sentimeter, barulah si ibu di bawa ke meja bersalin. Ini bermakna ia sudah masuk ke stage 2 di mana contraction adalah paling kerap dan paling kuat; biasanya selama 60 hingga 90 saat, selang 2 ke 3 minit, sehinggalah bayi dilahirkan.

Begitulah satu-satu proses bersalin berjalan. Begitu susah dan memerlukan pengorbanan yang amat besar. Penulis beristighfar.

Syahadah

Apabila bayi beralih ke tangan midwife, dia segera dibawa ke meja persediaan bayi untuk menjalani beberapa prosidur perlu seperti mengukur panjang, lilit dada dan kepala, berat, kumpulan darah, Apgar assessment, suntikan vaksin dan banyak lagi.

Apabila prosidur selesai, bayi itu diletakkan dikatil bayi. Ketika ini penulis dan sahabat mengambil peluang membisikkan azan ke telinga bayi. Pada penulis, bayi itu suci dari dari segala dosa. Biar siapa pun ibubapa mereka, kalimah syahadah adalah didikan asas dan teragung untuk seorang hamba mengenal Allah Penciptanya.

Harapan penulis, moga suatu masa nanti dia diberi hidayah.

Pengorbanan tanpa syarat



Pengorbanan seorang ibu bukan hanya ketika menahan sakit saat bersalin tetapi bermula sejak bayi bertumbuh di dalam rahimnya. Selama lebih sembilan bulan ibu dengan tabahnya menahan berat dan alah, menunggu kehadiran cahaya mata lahir ke dunia.

Tidak berakhir disitu, pengorbanan itu berterusan biarpun anak-anak sudah dewasa dan punya hidup sendiri.

Besarnya pengorbanan ibu.

Tetapi, sejauh mana seorang anak menghargai pengorbanan itu?

Mari kita nilai balik dimana duduknya ibu kita dalam hati kita.

Jika pernah ada derhaka, segeralah mohon keampunan.

Doakan juga kebahagiaannya.

Moga Allah memelihara hidup hamba-hambaNya yang berbuat baik pada kedua ibubapa mereka.

Friday, March 5, 2010

AYAH SAYA!

'Salam ma. Semalam ma janji nak buat video conference dengan ayah, tapi kenapa ma tak online pun. Ayah tunggu ma sampai pukul 12 malam lebih
. Lain kali jangan janji macam ni dengan ayah.'

Mesej ringkas dari kakak penulis tertera di skrin laptop. Penulis rasa serba-salah. Memang benar penulis ada berjanji dengan ayah untuk berkonferens jam 10 malam waktu Malaysia. Namun ia tidak seperti yang dirancang.

Selepas membaca mesej dari kakak, penulis terus membuat panggilan kerumah. Memohon maaf dari ayah dan menjelaskan perkara yang sebenarnya. Alhamdulillah ayah faham.



Hakikatnya, malam itu penulis juga ternanti-nanti panggilan dari ayah. Bila melihat waktu sudah menjangkau jam 6 petang, bermakna di tanah air sudah pukul 11 malam. Mungkin ayah tertidur, itu jangkaan penulis. Tanpa menghantar sebarang mesej, penulis membiarkan sahaja masa berlalu dengan aktivi wajib yang lain. Jika telefon ke rumah, bimbang mengganggu tidur ayah dan ibu.

Ayah

Itulah ayah penulis. Belajar komputer semata-mata ingin menatap wajah anak-anak. Kata ayah, tidak puas rasanya jika hanya mendengar suara. Jika dahulu, anak-anak dekat. Bila-bila masa sahaja boleh berkumpul.

Penulis kerap menelefon ke rumah untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu pada ayah dan ibu dikampung halaman. Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tambahan pula sekarang ini, dirumah hanya tinggal mereka berdua kerana anak-anak tinggal jauh diluar Kelantan.

Itulah kepuasan yang sebenar.


Ayah dan Ibu penulis bersama cucunda Mukhlis

Hari ini adalah ulangtahun kelahiran ayah yang ke-63. Saat ini penulis terlalu ingin berkongsi cerita tentang ayah. Sememangnya amat banyak kisah untuk diceritakan dan dikongsi bersama pembaca. Mustahil untuk dinukilkan kesemuanya, namun sekurang-kurangnya ia mampu meredakan rasa rindu penulis pada Ayah yang jauh di Malaysia.

Nostalgia

Penulis ada sebelas beradik kesemuanya; empat lelaki dan tujuh perempuan.

Ada orang tanya ayah, seronokkah ada ramai anak?

Ayah jawab, anak-anak itu anugerah Allah, amanah Allah. Bila dapat hadiah, siapa yang tidak seronok. Itulah tanda syukur ayah.

Penulis masih ingat, bagaimana rutin ayah setiap hari. Seawal jam 3 pagi beliau sudah bangun untuk persiapan diri. Seterusnya beliau akan mengejutkan ibu untuk turut bangun bertahajjud. Ayah lebih senang bertahajjud di masjid. Jarak masjid dari rumah kami hanya 20 meter.

Sebelum turun dari rumah, ayah akan berpesan pada ibu untuk mengejutkan anak-anak jam 5 pagi. Tepat jam 5 pagi, ayah mula membaca Al-Quran melalui mikrofon masjid, bagi mengejutkan penduduk kampung dari lena. Sebagaimana azan, biasanya suara bacaan Quran ini boleh didengari seluruh kampung dan kempung bersebelahan.

Usai bilal melaungkan azan subuh, ayah sekali lagi pulang ke rumah untuk memastikan kesemua anaknya sudah bangun dan bersiap untuk solat berjemaah di masjid. Ibu diamanahkan untuk mengawal anak-anak perempuan.

Selesai solat, ayah akan berpaling ke saf-saf belakang, memastikan anak-anak lelakinya ada bersama. Jika ada yang tidak datang, sekali lagi ayah akan pulang ke rumah untuk menyiasat dan menghukum.

Sesudah kuliah subuh, kami semua wajib mengaji Al-Quran bersama-sama. Ayah dan ibu akan mendengar bacaan setiap rang dari kami.

Ayah pulang dari pejabat biasanya jam 5 petang. Jam 6 petang kami makan malam bersama-sama. Setiap orang harus makan bersama-sama. Ayah sangat marah jika ada yang sengaja tidak mahu makan bersama-sama. Selepas maghrib, kami mengaji Al-Quran sekali lagi.

Penulis ingat lagi bagaimana nakalnya kami ketika dizaman kanak-kanak dahulu. Setiap malam Rabu dan Khamis akan ada kuliah Tuan Guru Nik Aziz di masjid, jadi kami akan tersangat gembira kerana malam itu kami tidak perlu mengaji.

Waktu bermain dan menonton televisyen adalah selepas solat asar sehingga jam 6 petang untuk hari persekolahan, dan ketika hujung minggu waktu menonton ditambah, iaitu selepas solat isya hingga jam 10 malam.

Ketika belajar, ayah dan ibu akan menemani kami. Kami belajar dalam keadaan duduk bersila atau meniarap sahaja di ruang tamu kerana ketika itu kami tiada meja belajar. Yang seronoknya, jika kami tertidur di situ, ayah akan mengangkat kami seorang demi seorang masuk ke bilik tidur.

Ayah sering bergurau dengan anak-anak, membawa kami berkelah atau menziarahi saudara-mara. Di waktu lapang kami diajak ke kebun untuk menebas semak samun, mencari hasil kebun atau meneman ayah pergi menembak tupai.

Arus masa terus berlalu dan sudah banyak yang berubah kerana masing-masing sudah menganjak dewasa, namun apa yang penulis perhatikan, hingga ke hari ini rutin hidup harian ayah masih sama seperti dahulu.

Mendidik

Hubungan kami sesama ahli sangat erat. Kami erat bukan kerana kami lahir dalam satu keluarga yang sama, tetapi kerana kami dididik oleh ayah untuk menjadi 'ahli' dalam keluarga.

Kami anak-anak dibesarkan dalam keadaan serba-sedarhana termasuklah tempat tinggal, makan, minum, berpakaian, dan bercakap. Bila bercakap tidak boleh tinggi suara, bila bergelak ketawa harus mengawal nada.

Sejak dari kecil, kami dididik untuk berkongsi dalam segenap perkara. Kami berkongsi satu gelas untuk sebelas beradik, berkongsi bilik malah bantal sesama perempuan dan sesama lelaki. Mungkin itu rahsianya kami menjadi rapat dan tidak berkira.

Bab agama amat di ambil berat oleh ayah. Solat wajib berjemaah di masjid. Baca Quran mesti setiap hari. Adab dengan orang tua harus dijaga. Anak perempuan wajib memakai hijab seawal umur 5 tahun. Pernah penulis dikejar keliling masjid dan diugut dibotakkan rambut kerana keluar bermain tanpa memakai tutup kepala.

Dalam pelajaran, ayah akan memastikan buku rekod kami sampai ke tangan beliau. Hanya beliau yang berhak tanda tangan pada buku rekod tersebut. Hatta ibu juga tidak berhak. Jika keputusan peperiksaan kami menurun, amaran atau hukuman menanti kami.

Ayah telah menyusun, anak yang sulung harus mendalami bidang agama. Rasional ayah, yang sulung bertanggungjawab mendidik adik-adik selepasnya dan adik-adik harus menghormati kakak yang sulung.

Cinta Tanpa Syarat

Keluarga penulis

Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa ayah penulis terkenal dengan sifat garangnya. Bukan setakat kami dirumah, malah satu kampung tahu akan sifat itu. Ayah digeruni kerana sifat garangnya, walaupun beliau juga dihormati kerana sifat pemurahnya.

Namun dalam masa yang sama, hati ayah terlalu lembut.

Tidak ada sesiapa pun yang boleh menjentik anak-anaknya selain dari beliau. Malah bonda penulis sendiri tidak dibenarkan merotan kami. Dicubit peha atau ditarik telinga pun tidak boleh. Bukan bermakna kami tidak pernah dirotan. Rotan adalah hukuman kami jika tidak melakukan kesalahan, tetapi yang merotan kami hanyalah ayah.

Ayah adalah orang pertama yang menitiskan air mata jika kami bergaduh sesama kami adik-beradik. Kata ayah, dia bimbang bila sudah besar esok, kami akan bergaduh dan berpecah juga. bertapa mulianya hati ayah.

Itulah ayah. Sentiasa memikirkan kebahagiaan anak-anaknya.

Mampukan kami mencontohi ayah?

Pelukan, ciuman dan doa dari Ayah sentiasa hangat untuk kami, sedari kecil hinggalah ke saat ini.

Dalam segala kelemahan, hanya sembah syukur yang mampu penulis panjatkan pada Allah diatas anugerah seorang ayah dan ibu yang penulis miliki sekarang ini. Semoga ayah dan ibu penulis dipanjangkan umur, dikurniakan kesihatan dan kebahagian berpanjangan.

رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Ameen.

Sanah Helwah Ayah!

Terima kasih kerana mendidik kami, terima kasih kerana mempercayai kami, terima kasih kerana terus mendoakan kami.

Kami Cinta Ayah. Kami bangga menjadi anak-anak ayah.