Tuesday, November 17, 2009

CHERITA CHINTA 2

Penulis ingin menyambung Cherita Chinta sebelum ini.

Ada seorang sahabat berkata kepada penulis, jangan terlalu menyintai diri sendiri. Nanti makan diri. Cinta diri sendiri melahirkan sifat pentingkan diri sendiri katanya.

Iya. Penulis setuju dan berlapang dada dengan pendapatnya. Dalam apa-apa kontek sekalipun, jika salah menggunakan cinta, ia tetap mengundang musibah.


Mari Cintai Diri Sendiri

Ketika di Maahad dahulu, antara subjek yang paling penulis gemari adalah Akhlak. Dalam pelajaran itu, penulis pernah diajar untuk menunaikan hak diri.

Apa hak diri?

Cinta pada diri sendiri.

Pernah dengar istilah Narsisme?

Narsisme adalah satu ideologi tentang perasaan cinta terhadap diri sendiri. Ia pertama kali diperkenalkan oleh Sigmund Freud, seorang tokoh falsafah yang terkenal dengan teori psikoanalisisnya.

Dalam mitos Yunani terdapat seorang pemuda bernama Narcisuss yang jatuh cinta pada bayangan dirinya yang terpantul di permukaan sebuah kolam. Dia terlalu kagum dengan dirinya sendiri sehingga akhirnya jatuh kedalam kolam kerana terlalu asyik dengan bayangan sendiri.

Itu contoh kisah cinta seorang pemuda pada dirinya dengan pengakhiran yang sangat merugikan.

Betul. Kita seharunya bimbang dengan pengakhiran hidup kita, tetapi bukan pengakhiran seperti Narcisuss yang kita mahu.

Penulis tidak bermaksud mengajak sahabat pembaca menyintai diri sendiri sampai kepada tahap memuja diri sendiri. Terpegun pada diri sendiri.

Itu 'ujub namanya.

Semaikan Cinta dengan Kebajikan

Bentuk cinta pada diri sendiri adalah dengan menanamkan kebaikan dalam diri sendiri, berlatih untuk yakin pada ajaran islam, bersemangat, bijaksana, murah hati, rendah diri, benci kepada kemaksiatan (derhaka) kepada Allah.

Dengan kata lain, adil dan tidak berlaku zalim pada diri sendiri.

Banyak kisah didalam Al-Quran, Allah menceritakan kembali kepada kita semua bagaimana pengakuan orang-orang yang telah dihitung amalannya oleh Allah. Itu semua adalah peringatan kepada kita yang masih hidup. Yang masih dapat merasai nikmat sihat dan nikmat lapang yang Allah berikan. Penulis bawakan satu contoh:

Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata:
"Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim".
[Al-A'raf:005]


Pada pandangan penulis, menjaga kebajikan diri adalah tanda cinta manusia kepada dirinya sendiri.

Anda cinta pada ibu anda, jadi anda zalim jika membiarkan ibu anda dibakar api. Maka, adakah anda sanggup membiarkan jiwa anda jauh dari Tuhannya, dan dicampak ke neraka jahannam.

Adilkah begitu?

Didiklah Hati

Cinta kepada diri sendiri bukanlah suatu sikap yang egoistik. Ia bukan pemuas kepada nafsu bagi memenuhi kehendak diri sendiri dan merampas kebahagiaan orang lain.

Cinta kepada diri sendiri adalah sikap logik akal yang harus untuk memenuhi keperluan diri. Siapa yang mampu mengembirakan anda jika bukan anda sendiri.

Anda berasa gembira kerana dicintai seseorang. Pokoknya, anda gembira kerana anda mahu menerima cinta orang itu. Jika orang yang sama memberikan berganda-ganda cintanya, tetapi anda tidak mahu menerima cintanya, adakah anda boleh berasa gembira dicintai orang itu? Pelikkan?

Kepada sesiapa yang didalam dirinya masih ragu-ragu dengan erti kata taubat, berusahalah mendidik hati. Mulakan dengan hati yang bulat dan yakin denga sifat Allah Al-Ghafur, Ar-Rahman dan Ar-Rahim (Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang).

Anda tidak perlu berubah sekali gus dalam sekelip mata. Berilah ruang kepada hati anda untuk mengenal Tuhan Pencipta, seterusnya tuntunlah ia mencipta perubahan.

Jangan jadi seperti orang zalim yang telah dimatikan, tetapi merayu kepada Allah untuk dihidupkan semula supaya boleh kembali ke dunia untuk berbuat amal kebajikan. Itu penyesalan yang tiada gunanya. Perhatikan ayat ini:

Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari Neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat),
maka sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.
[Al-Mu'minun : 107]


Anda kenal diri anda. Anda pujuklah hati anda itu.

Berita Gembira sebagai Balasan Cinta

Sebelum menutup kisah cinta ini, penulis ingin bawakan khabar gembira daripada Allah, Tuhan kita semua:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
[Fusshilat:30]


Mari hiburkan hati yang kita cintai itu dengan alunan ini


Semoga kita memperoleh ketenangan hakiki.

2 comments:

  1. betapa luasnye cinta kn..kadang2 sesetengah orng ni sebut cinta jerk terus bayangkan cinta si teruna dan dara..cinta yg mana kdng2 penuh dngn dosa dan maksiat sehinggakan lupa pd mencintai Allah

    ReplyDelete
  2. salam. maaf lama sungguh biar komen tnpa respon.

    btul. generasi sekarang disempitkn fikiran mereka dlm byk hal. cinta adalah salah satu darinya...

    ReplyDelete