Betul lah tu. Seringkali kita mengadu sakit kepala, pening lalat, cepat penat, loya dan bermacam-macam lagi kerana terlalu banyak menggunakan otak. Stress dimusim peperiksaan.
Memang betul kita akan rasa semua tu. Masuk ke dewan peperiksaan, makin bertambah tahap tekanannya. Mana tak sakitnya, belajar cukup-cukup makan. Otak penat. Makin kecut otak kerana terlalu memerah sedangkan isinya memang tiada.
Itu silapnya kita. Menggunakan sel-sel saraf otak dengan cara yang salah. Memberi kejutan begitu akan hanya membunuh sel-sel itu. Akibatnya, mereka tidak mampu berkembang secara normal.
OTAK
Otak merupakan pusat kawalan kepada sistem tubuh manusia. Ia terdiri daripada sel-sel saraf yang dipanggil neuron. Neuron menghantar mesej ke seluruh tubuh membolehkan manusia terus bernafas dan melakukan aktiviti harian.
Hampir tujuh puluh peratus oksigen didalam badan manusia digunakan oleh otak. Begitu juga sumber glukos. Sedikit sahaja kekurangan oksigen atau glukos, kita akan pening atau pitam. Dalam keadaan kritikal, peredaran darah dalam sistem tubuh manusia telah diprogramkan oleh Allah untuk menghentikan peredarannya kebahagian tubuh yang lain bagi menumpukan bekalan darah hanya untuk otak.
Kajian yang pernah diterbitkan dalam British Medical Journal menunjukkan mereka yang berIQ tinggi mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding meraka yang rendah IQ. Disini ada kaitannya dengan aktiviti mental seseorang. Semakin banyak dia berfikir, semakin banyak neuron diaktifkan, semakin lambat tahap kemusnahan neuron tersebut.
Itu otak. Bagaimana pula dengan akal?
AKAL
Penulis pernah belajar tentang "what is philosophy?", Philosophy bermaksud "love of wisdom". Mungkin penulis tidak begitu jelas untuk menerangkan topik ini, tetapi apa yang menarik adalah melalui falsafah, manusia terus berfikir mencari pengertian kepada 'sesuatu'.
Maka, disini lahirlah pula 'Konsepsi' yang mana dari 'sesuatu' tadi manusia akan terus memikirkan bermacam-macam perkara yang berkaitan.
Fikiran itulah akal. Semakin banyak perkara yang difikirkan oleh otak, semakin banyak idea baru yang muncul. Mencantikkan lagi sesuatu idea yang telah ada.
S.H. Nasr, dalam bukunya, Ideals and realities of Islam, mendefinasikan akal dengan menyatakan bahawa dalam Islam akal bukanlah bermaksud cepat berfikir dan cerdas bermain dengan idea-idea tanpa mencapai isi dalam idea itu. Akal seperti ini sama seperti kolam yang membeku dimana disegalanya hanya meluncur diatas permukaannya tanpa mampu menyentuh dasar kolam.
Penulis pernah bertanya kepada kakak penulis yang juga pensyarah Bahasa Arab, apakah yang dimaksudkan dengan kata akal itu?
Katanya, Al-‘Aql di dalam bahasa Arab, bermaksud buah fikiran. Juga bermaksud intelek. Maksud lain bagi kata akar 'aql adalah ikatan yang menerangkan sesuatu yang mengikat manusia dengan Tuhannya.
ILMU
Pertalian diantara sesuatu perkara atau peristiwa mampu dicambahkan oleh akal. Maka disini, fungsi akal harus dikawal supaya ia tidak lari dari tujuan asal penciptaannya iaitu berfikir tentang bukti kekuasaan Tuhan yang mencipta seluruh kejadian alam.
Segala apa yang kita nampak diatas muka bumi ini punyai kaitan diantara satu sama lain, dan kaitan itulah yang dikatakan ilmu. Sebagai contoh, apabila manusia diberikan padi dan batu, apa yang akan terlintas difikiran kita?
Sememangnya padi dan batu, masing-masing mempunyai unsur yang sangat jelas berbeza. Mustahil manusia itu terus menelan biji-biji padi sebagaimana monyet dan membuang batu-batu itu begitu sahaja. Dengan kebijaksanaan manusia, batu-batu digunakan untuk memecahkan padi bagi mendapatkan beras, seterusnya, dari batu itu api boleh dihasilkan dan digunakan untuk memasak beras tersebut. Sekarang, beras sudah bertukar menjadi nasi.
Begitulah hebatnya manusia. Harus diingatkan kembali bahawa akal dan ilmu itulah yang membezakan manusia dari makhluk ciptaan Allah yang lain.
TUJUAN PENCIPTAAN AKAL PADA MANUSIA
Rasanya kita tidak lupa akan peristiwa dimana pada asalnya seluruh malaikat tidak bersetuju Allah menciptakan manusia didunia ini. Segalanya jelas diceritakan didalam surah Al-Baqarah ayat 30-38. Akhir kisah malaikat patuh dan sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. atas perintah Allah kerana kelebihan akal dan ilmu yang ada pada Nabi Adam a.s.
Allah Subhanahu WaTaala berfirman,
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?
[Al-Mu'minun:115]
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sesama mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
[Ali 'Imran:191]
[Al-Mu'minun:115]
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sesama mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
[Ali 'Imran:191]
Ayat-ayat diatas menjelaskan tujuan penciptaan manusia, serta penciptaan langit dan bumi dan seluruh yang ada padanya adalah penyempurnaan kepada penciptaan itu.
Kesimpulannya, melalui akal dan ilmu, manusia akan memperoleh kesempurnaan diri didalam ibadat dan juga amal. Ibadah dan amal ini akan berlanjutan sehingga menusia itu mati, dan itulah bekal yang menjadi perhintungan di hari akhirat kelak.
Wallahu a'lam.
p/s: Selamat menghadapi peperiksaan akhir semester II buat semua volgorians.. Maa ttaufiq wannajah. All the best to all of you.
اَللَّهُمَّ اَخْرِجْنِي مِنْ ظُلُمَاتِ الْوَهْمِ، وَاَكْرِمْنِي بِنُوْرِ الْفَهْمِ. اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا اَبْوَابَ رَحْمَتِكَ، وَانْشُرْ عَلَيْنَا خَزَآئِنَ عُلُوْمِكَ بِرَحْمَتِكَ يَااَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Ya Allah, keluarkan aku dari gelapnya kebingungan dan muliakan aku dengan cahaya pemahaman. Ya Allah, bukakan kepada kami pintu-pintu rahmat-Mu, dan curahkan kepada kami khazanah-khazanah ilmu-Mu dengan rahmat-Mu wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.
Ameen.