Wednesday, November 4, 2009

MAHU YANG BAGAIMANA?

Memilih warna kehidupan...

Semua orang mahu yang baik. Tiada siapa minta diberikan yang buruk, dan jika boleh mahu yang 'terbaik'. Penulis juga begitu, sebolehnya mahu yang elok-elok sahaja.

Ada sesiapa yang tidak bersetuju dengan pernyataan ini?

Baiklah, tentu sahabat pembaca pernah mendengar atau membaca kisah Nabi Musa a.s. ketika masih kecil. Fir'aun telah menguji tahap kebijaksanaan Nabi Musa dengan meletakkan dua biji mangkuk yang satunya berisi permata dan satu lagi bara api. Jika Nabi Musa memilih permata, bermakna baginda bijak dan bakal memberi ancaman kepada kedudukan Si Zhalim itu. Jika sebalik, maka Fir'aun akan terselamat dari bala yang diberitakan.

Diriwayatkan, baginda asalnya memilih batu permata, tetapi Allah mengarahkan malaikat jibril mengalihkan tangan baginda kearah mangkuk berisi bara api. Akhirnya, baginda terambil bara dan meletakkannya didalam mulut mengakibatkan lidah baginda terbakar dan menyukarkan baginda berkata-kata.

Melalui kisah ini, penulis ingin membawakan contoh fitrah manusia yang berakal sememangnya inginkan yang cantik, yang sempurna. Walaupun masih kecil dan belum pandai berfikir, mereka tetap tertarik pada perkara yang menyenangkan mereka. Hanya mereka yang bodoh sahaja menolak kebaikan.

Mari kita bincang lagi tajuk ini.

Destinasi akhir

Jika sahabat pembaca diberi pilihan antara tinggal di dalam gua yang kelam atau di istana yang indah bergemerlapan, yang mana satu menjadi pilihan? Penulis yakin yang nombor dua akan jadi pilihan.

Siapa mahu hidup didalam gua yang gelap dan bahaya itu? Banyak binatang buas dan sangat tidak selesa. Lain dengan istana. Selamat malah mendapat layanan istimewa. Lebih hebat jika dapat bersua muka dengan raja yang menganugerahkan hidup seumpama itu.

Sekarang mari kita renungkan pengakhiran hidup kita ini. Manusia diberi pilihan oleh Allah Ta'ala untuk memilih tempat tinggal selepas dihidupkan kembali diakhirat kelak.

Mahu syurga atau neraka. Ada dua pilihan sahaja.

Ramai manusia mendambakan syurga kerana keindahan yang tidak tergambar oleh mata. Keajaiban yang diceritakan oleh Allah dan Rasul tidak dapat dibayang oleh akal manusia. Hanya dengan memasukinya sahaja impian untuk bertemu Tuhan Al-Wadud akan tercapai dan boleh berada disamping Rasulullah tercinta. Penulis rasa sahabat-sahabat juga impikan yang sama.

Jadi bagaimana??

Fikirkan pilihan

Pernahkah kita berfikir, Allah suka orang yang bagaimana? Allah benci orang yang bagaimana?

Mampukah kita menanggung seksa kubur? tahankan kita dengan seksa api neraka? kita tidak akan dimatikan lagi diakhirat esok. Jadi azab itu tidak akan berhenti selama mana menjadi ahli nereka jahannam.

cuba renungkan kita hari ini bagaimana? solat kita, ibadah kita, hati dalaman kita, akhlak kita?

Bukankan kita mahu yang terbaik? jika begitu, kita juga harus jadi yang terbaik.

Jika kita teliti kalam Allah, kita akan ketemu dengan banyak ayat yang menceritakan golongan yang layak memilki syurgaNya. Kesimpulannya hanya mereka yang bertaqwa dan mendapat rahmatNya Allah sahaja yang layak.

Firman Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan / isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.
[Ali Imran : 015]

Adakah kita layak menghuni syurga Allah? Ya. Allah tidak menetapkan koata berapa ramai dikalangan hambaNya yang boleh masuk syurga. Hanya iman yang melayakkan kita terpilih atau tidak. Semua orang boleh berusaha untuk meraih iman dan taqwa. Jadi, kita semua layak memiliki syurga.

Maka penulis ulang sekali lagi, jika mahu yang baik, kita harus cuba jadi yang terbaik. Terbaik dalam penilaian Allah adalah keimanan dan ketaqwaan. Iman dan taqwa itulah yang mempengaruhi peribadi seseorang.

Bina hati yang baik

Adakah betul penilaian seorang doktor yang hebat bergantung kepada cara dia menggantung stethoscope dilehernya? atau dilihat dari cara jalannya? tidak bukan...

Salah jika manusia mula bentuk peribadi dengan perkara yang luaran dahulu. Ada manusia mengubah cara perwatakannya yang keras kerana merasakan watak lembut itu lebih 'solehah'. Ada yang sanggup memakai kopiah sepanjang masa supaya orang melihatnya 'soleh'.

Rasulullah s.a.w menyatakan dalam diri manusia ada seketul daging. jika ia baik, maka baiklah seluruhnya. Dan jika buruk maka rosak, rosaklah seluruhnya, iaitulah hati.

Peribadi mulia bermula dari hati yang bersih.

Mungkin kita biasa mendengar kata-kata dari tabi'en, “ Iman itu bukan hanya dengan angan-angan, dengan kata-kata, tetapi apa yang tersemat di dalam hati, dan dibuktikan dengan amal”

Marilah kita mula serius memikirkan masa depan. Kita bukan hanya inginkan kesenangan didunia, tetapi juga akhirat.

Jika hati sakit, rawatlah ia dengan segera. Jika hati sudah baik, peliharalah ia sebaiknya.

Kita mahukan peribadi yang menjamin kehidupan kita selamanya.

No comments:

Post a Comment