Monday, December 6, 2010

Dia Malu

Dia malu
bukan kerana dia perempuan,
tetapi kerana fitrah.
Ia anugerah dari Rabbul Jalil
demi menjaga iman
hamba-hambaNya..

Pujian manusia terkadang
membuat pipinya merah,
menahan rasa malu.
Terus hatinya membisik,
imannya menggertak
"Apa lebihnya kamu?
Bertaqwalah kepada Allah!"
Dia makin malu pada Tuhannya,
atas keterlanjuran membenih riya'

Tidak mudah
menjunjung ayat-ayat Rabb-nya
menyebar agamanya.
Dipujuk diri untuk terus mara,
mesti berani dan terus tegar,
harus teguh dengan prinsip.
Bila lantang menyata kebenaran,
dikata semacam jantan
seolah tiada malu.
Tuhan saja yang tahu

dihatinya malu masih sangat terasa
cuma tidak dizahirkan saja

Dahinya rapat ke bumi
sujud penuh khusyu'
ingin memohon bermacam perkara dari Al-'Azhim.
Mahu menjadi penghuni syurga,
mahu jauh dari neraka
mahu dikurnia mujahid sejati.
Namun tidak terlafaz
dalam do'anya,
kerana dia malu
atas cacat-cela ibadah
yang telah dipersembahkan.
Matanya merah demi menahan air mata dan cinta
"Ya Allah.. ampunkan aku dan redhailah aku.."


~Widad Nuruddin~
1 Muharram 1432H

Saturday, November 27, 2010

BAHASA HATI

"Devushka, tvaya sumka mesyaet! Ubiri!" (girl beg kamu ini mengganggu saya! Letak jauh-jauh!) kata seorang nenek kepada penulis dengan nada yang keras sambil menolak-nolak beg dibahu penulis dengan kasar.

"Izvinite..." (maaf..) balas penulis beralas sambil mengalihkan beg dari bahu ke lengan.

"Ya Allah, sabarkan aku dengan nenek yang bengis ini. Dia dah tua, maafkan saja.." bisik hati penulis. Mood penulis sedikit terganggu.

Dalam keadaan berdiri dan berhimpit-himpit didalam bas, penulis mencari ruang untuk meletak beg yang maha berat ini. Memikulnya sahaja sudah senget bahu, mustahil mahu menjinjit dilengan dalam jangka yang lama. Boleh patah lengan.

"Devushka, daite pazjaluista sumku. Tizjoli da?" (beri beg kamu. Berat kan?) pinta seorang wanita yang duduk dibelakang nenek tadi tiba-tiba. Mungkin dia sedar akan peristiwa tadi dan perasan dengan kesulitan penulis.

"Da nyet. Narmalna. Spasiba" (eh tak, biasa saja. Terima kasih).

"Shto nyet? Lazjite suda.." (apa yang tak? letak disini..) desak wanita itu lagi sambil menepuk-nepuk pehanya. Dia obses, jadi penulis harus akur, nanti lain pula yang difikirnya.

"Spasiba..." penulis berbasi dengan senyuman.

"Alhamdulillah, Engkau ringankan bebanku hari ini...". Mood penulis kembali baik.

Kondisi yang memenatkan. Penat bukan kerana beg yang digalas, tetapi penat kerana melihat sikap dan mendengar bahasa yang kasar serta tidak beralas. Sakit hati. Mood pun boleh swing.

Bahasa Akal vs Bahasa Hati

Bahasa secara literalnya bermaksud ungkapan perkataan. Dengan kata lain, bahasa adalah komponen terpenting dalam sistem komunikasi. Akal biasanya memproses apa yang ingin disampaikan, manakala hati memproses cara dan kaedah untuk menyampaikan.

Sedaya-upaya penulis cuba berhati-hati dalam menyusun kata supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak, samada ketika bercakap formal, sembang-sembang, mahupun ketika gurau senda. Kata yang keluar adalah selepas difikirkan konsikuensinya. Jadi, penulis juga mengharapkan kata-kata yang tidak menyinggung hati ini.

Hati penulis jenis yang sensitif? Mungkin...

Yang sebenar, fitrah semua manusia sememangnya menginginkan yang demikian. Manusia dicipta berserta akal dan hati. Akal ada logik yang akan menilai dan memahami kata-kata. Serentak itu hati akan terus memainkan peranannya. Kedua-duanya berfungsi dalam diri yang berkata-kata dan juga yang mendengar.

Bahasa akal hanya diterima untuk di 'buat atau tidak', tetapi bahasa hati meletakkan arahan kepada 'mahu atau tidak'.Jika ia suatu arahan, maka harus dilaksanakan. Stimulasi kepada kualiti perlaksanaan, adalah emosi yang dimainkan oleh hati.

Apabila menghadapi kedua-duanya, maka bahasa yang diguna biarlah yang memberi harapan, bukannya mengembalikan kejian kepada diri sendiri.

Contoh bahasa akal; "Awak, saya lapar! sediakan makanan!" kata si suami kepada isterinya. Si isteri bangun dengan mulut yang muncung menuju ke dapur. Ktung ktang ktung ktang. Suami buka saji, lauk ikan kering dengan nasi dingin semalam dihidang.

Manakala contoh bahasa hati;"Sayang, abang lapar la. Tolong sediakan makanan..." kata si suami kepada isterinya. Si isteri terus bangun dengan senyuman menuju ke dapur. Ktung..... ktang..... suami duduk, nasi putih lauk daging merah terhidang, bau harum menyelerakan.

Anda nampak perbezaan antara dua susunan bahasa itu? hasilnya dimana? Bahasa akal atau bahasa hati yang lebih memuaskan diri?

Berbahasa Tanda Beragama


Kedamaian itu bahasa Tuhanku (sumber)

Seringkali kita dididik supaya beradab-sopan.

Lihat bagaimana Allah S.W.T mengajar tatatertib berbahasa.

Dalam Surah Al-Isra' ayat 23, Allah memberikan contoh yang jelas bagaimana beradab dengan ibubapa dan juga orang yang lebih tua;
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau Kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya Perkataan "Uh!" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka Perkataan yang mulia."Bagaimana menjaga adab dalam bermasyarakat?
Islam sangat menitik-beratkan soal bahasa sebagai asas kepada kedamaian. Cemuh-mencemuh, gelar-menggelar tidak harus ada dalam kamus hidup seorang mu'min. Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.

Panggilan nama yang sarat dengan kasih sayang, jarang sekali digunakan sekarang ini. Lihat bagaimana Allah memaparkan kisah bagaimana Nabi Allah Ibrahim memanggil anaknya Nabi Ismail A.S. dengan "Ya Bunayya" (Wahai anakku sayang), begitu juga kisah Luqmanul Hakim yang memulakan kata nasihat kepada anak-anaknya, juga dengan Ya Bunayya. Kesan nasihat beliau masuk ke hati dan kekal diingatan anak yang mendengar. Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri memanggil Siti A'isyah r.a. dengan nama Humaira (Si Merah-kemerahan).

Bahasa Baik


Selama hampir lima tahun penulis menetap di bumi bekas komunis ini, banyak sekali nilai yang penulis pelajari. Walaupun sikap dan intonasi suara penduduk tempatan kedengaran agak kasar, namun bahasa yang sering diguna adalah sangat menyenangkan hati dan penuh hormat.

Mereka bukan sahaja senang menuturkan kata sdrazvite (salam sejahtera), spasiba (terima kasih), dan izvinite (maaf), malah setiap permintaan pasti akan disertai dengan pazjaluista (tolong/silakan). Jika ada sahaja antara kami yang bersin, ucapan budte zdarovi (semoga sembuh) sudah tentu mengiringi.

Setiap kali pusing wad bersama pensyarah-pensyarah, penulis perhati mereka ini akan sentiasa mengakhiri pertemuan dengan pesakit dengan ucapan vizdaravlivaete (semoga cepat sembuh).

Penulis malah senang bila berbicara dengan mereka, mereka gemar memanggil kami dengan panggilan manja seperti maya haroshaya (anakku yang baik), maya doragaya (sayangku), milaya maya (si manis), tsontse mayo (cahayaku) dan banyak lagi.

Justeru, bilamana mendengar bahasa-bahasa yang baik ini dibudayakan dinegara yang bukan mengamalkan islam, penulis berfikir, bukankah hal ini yang sering diajar oleh islam? kenapa orang kita yang sudah sedia asalnya islam tidak ramai yang yang membudayakannya?

Mari sama-sama kita fikirkan.
The words you choose to say something are just
as important as the decision to speak.

Sunday, November 7, 2010

SERUAN ANAK JANTAN!


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ
يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِ
يمٌ
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya." [Al-Maaidah 5:54]
Sesungguhnya keteguhan Agama Islam amat bergantung pada kekuatan generasi pejuang yang mendokongnya. Walaupun kesucian Islam telah dijamin oleh Allah Taala akan kekal hingga hari qiamat, namun jatuh bangunnya tetap ada. Faktor yang terbesarnya adalah pemuda pemudi yang ada padanya. Golongan yang menjadi kaum yang 'mengganti' kaum yang berpaling tadah.

Bagi mereka yang biasa dengan loghat kelantan, istilah anak jantan sering dikaitkan dengan pemuda yang berani, sabar, yakin diri, rajin, tegas, pelindung dan berdikari. Jadi, tidak salah rasanya jika penulis menggambarkan anak-anak jantan inilah calon yang paling layak mewarisi perjuangan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'en. Remaja Islam atau anak jantan sejati adalah aset yang paling kuat untuk menanggung risalah dan panji Islam.

Anak Jantan Yang Soleh


Menjaga segala aspek kehidupan adalah ciri yang perlu ada pada seorang pejuang. Ia merangkumi hubungan dengan Allah, Rasulullah, keluarga dan masyarakat serta makhluk selain manusia. Barulah dikata anak jantan sejati.

Tindakan melambangkan apa yang ada dihati. Maka, tegakkan syi'ar Islam di dalam diri dahulu jika mahu melihat Islam tertegak dimuka bumi. Penulis tidak percaya pada yang sering disebut-sebut "nampak luar sahaja buruk, tapi hati dalam sebenarnya baik". Mana mungkin, Islam itu sempurna zahir dan batin.

Bagaimana pula hubungan anak jantan yang soleh dengan keluarganya? Anak jantan sejati tidak menyandarkan tanggungjawab menjaga keluarga hanya pada ibu dan ayahnya. Malah dia sendiri yang akan lebih mainkan peranan. Menjaga ahli keluaga dari fitnah dunia dan seksa neraka jahannam. Yang abang sentiasa peka dengan kesalahan adik. Yang kakak sentiasa menasihati kearah kebaikan. Yang adik sentiasa berani menegur kesilapan yang tua. Penuh hikmah, penuh teladan.

Selain itu, anak jantan sejati akan prihatin dengan masyarakat sekeliling. Sentiasa menunjukkan sikap saling memerlukan dan adil dengan sesiapa sahaja. Yang lemah dibantu seikhlas hati. Perasaan jiran tetangga dijaga tanpa sabarang syak wasangka. Baik Melayu, baik Cina, baik India, dan baik sesiapa sahaja, mereka semua disatukan dibawah panji keagungan Islam.

Wanita Perkasa


Penulis lebih suka bila seorang gadis digelar jantan berbanding betina. Walaupun gelaran jantan itu biasanya diberikan pada kaum lelaki, namun apa salahnya jika sifat-sifat jantan itu ditanam dalam diri seorang perawan. Gelaran betina adalah kata nama yang mungkin pada penulis adalah yang paling jelek untuk didengar. Betina sering disifatkan sebagai seorang yang mudah menyerah kalah, tiada kehormatan, dungu dan segala macam kehinaan.

Maka, sifat anak jantan yang berani, bijak, sabar dan sebagainya harus ada dalam diri seorang muslimat. Ia akan menjadi sumber kekuatan kepada muslimah itu untuk bertindak bijak dalam membawa Islam dan terus berani mempertahankan maruah agama, keluarga dan juga dirinya. Sama-sama berganding tenaga dengan pelbagai golongan Ummat islam, menyumbang kearah tertegaknya syariat Islam di seluruh dunia.

Islam tidak perlukan wanita yang lembut hingga pijak semut pun semut tidak mati. Tidak perlu kepada wanita yang punya lenggok gemalai. Tidak perlu kepada wanita berlunak suara bila berbicara. Tidak perlu kepada wanita yang lemah manja. Itu semua hanya akan menyebabkan seorang wanita terus berada ditahap lemah dan terkebelakang.

Biar dikata keras hingga jentik gajah pun gajah tumbang. Yang penting adalah semangat yang jitu. Ada prinsip yang teguh berpaksikan Al-Quran dan Sunnah. Bukankah ada pepatah yang mengatakan tangan yang menghayung buaian bisa menggegarkan dunia. Yang menghayung buai itu kasih sayangnya, yang menggegar dunia itu semangatnya. Wanita juga mampu menjadi pendekar dunia. Gagah tika melangkah, tegas dalam bicara, namun masih menyimpan ciri wanita solehah.

Pernah suatu ketika, Khalifah 'Uthman bin 'Affan R.A. melantik Habib ibn Maslamah Al-Fihri sebagai panglima tentera muslimin menentang tentera-tentera Bizantin, dan isteri kepada Habib juga menjadi tentera dalam angkatab itu. Sebelum peperangan bermula, isterinya datang kepada beliau dan bertanya, "wahai suamiku, dimanakah kita akan bertemu setelah peperangan semakin memuncak?".

Habib membalas, "Kamu akan temui aku samada di tempat panglima Bizantin ataupun di syurga". Setelah peperangan berakhir dan tentera muslimin mendapat kemenangan gemilang, Habib segera ketempat panglima untuk menemui isterinya sepertimana yang telah dijanjikan. Sesampainya Habib disitu, beliau terkejut melihat isterinya telah lama sampai sembelum beliau. Mantap!

Berkhidmat Pada Allah dan Rasul-Nya


Ayuh muda-mudi Islam semua, bergeraklah. mainkan peranan kalian dalam perjuangan menegakkan deenul-Islam dibumi Allah ini. Tentang segala kezaliman, tutup segala lubang-lubang yang membawa kejahilan dan laungkan kesyumulan islam. Kalian semua mampu mengubah. Tegaknya Islam bila teguhnya pasak iman dalam diri kalian. Buang sikap lama yang merugikan itu dan menyerah dirilah pada Allah.

Cukuplah setakat ini kita malu pada kebijaksanaan Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a., kecerdikan Sayyidatina 'Aisyah binti Abu Bakar r.a., keluhuran Sayyidatina Fatimah binti Muhammad r.a., keberanian sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w seperti Zubair bin al A’wam, Saad bin Abi Waqas, al Arqam bin Abi Arqam al Makhzumi, Talhah bin Ubaidullah radhiallahu 'anhum, serta kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh dan ramai lagi pejuang islam. Mereka ini terserlah keperibadian dan kehebatan masing-masing dalam sejarah perjuangan islam sedari usia mereka masih belasan tahun.

Beruntunglah mereka yang melihat dunia melalui jendela akhirat. Peluang hidup sekali ini sahaja, kita mahu tunggu sampai bila?

Anak jantan tidak akan menyerah kalah!

Wednesday, October 20, 2010

I.M.S unlocked!


Alhamdulillah.

Tidak disangka-sangka. Betul ke ni?

Setelah lebih tiga bulan IZ MOEVO SERTSA terbelenggu tanpa penulis tahu sebabnya, akhirnya penulis berjaya kembali ke sini.

Syukur ya amat. Kuncinya dikembalikan.

Dulu, pernah timbul rasa putus asa, tidak mahu menulis lagi. Namun rasa sayang melebihi sangka negatif.

Kini, semangat untuk menulis kembali. Makin berkobar-kobar.

Oh idea, datanglah!!!

Thursday, July 1, 2010

POLITIK DOKTOR

Alhamdulillah.

Selesai satu bab kehidupan. Peperiksaan untuk semester lapan baru sahaja berakhir pagi tadi. Secara tidak rasminya, penulis melangkah naik ke satu lagi anak tangga. Tahun kelima pengajian. Tinggal lagi masa sebulan untuk praktikal sebelum pulang bercuti di tanah air.

Praktikal musim panas tahun ini yang pertama kali diwajibkan oleh pihak universiti kepada semua pelajar perubatan tahun kedua hingga tahun kelima. Kebiasaan tahun-tahun sudah, kami perlu menghabiskan credit hours untuk praktikum didalam semester I dan semester II. Tetapi tahun ini ia dibawa ke cuti musim panas, lansung memendekkan cuti kami kepada kurang lebih tiga minggu sahaja.

Haru?

Mencabar!

Terasa 'dingin'nya dengan praktikal kali ini. Mana taknya, fikiran dah terbang melayang ke Malaysia. Ada yang dah termimpi-mimpi bersalaman dengan ibu ayah masing-masing. Belum lagi dikira keterujaan kami melihat para senior tahun akhir yang sibuk mengemas barang-barang mereka. Keseronokan 'mengenakan' kami sangat jelas. Mungkin sebagai momen manis terakhir mereka bersama kami. Mereka akan pulang dan tidak akan kembali lagi kesini.

Matlamat mereka untuk menggengam title MD sudah tercapai.

Catatan sejarah mereka di bumi Volgograd bakal berakhir dan membuka lembaran baru di Malaysia.

Cabaran yang lebih besar sedang menanti mereka setelah bergelar doktor, iaitu bila mula berhadapan dengan sakit masyarakat.

Kisah 2006

"Ma nak sambung belajar di Rusia? Kenapa tak pilih Mesir? Ilmu tibb disana juga sangat hebat. Ayah Ziz dah jumpa dengan ramai doktor lepasan Al-Azhar yang boleh ubat orang, dalam masa yang sama boleh berhujjah tentang Al-Quran dan Hadith dengan sangat hebat. Lagipun Ayah Ziz dengar negara tu tak selamat." Respon pertama yang keluar dari mulut bapa saudara penulis memaklumkan kepada beliau tentang tawaran belajar ke Rusia, beberapa hari selepas menerima surat tawaran.

"Allah nak bagi peluang cari ilmu di Rusia, ayah" penulis membalas. Tersenyum.

"Tak apalah belajar dimana-mana pun. Semuanya milik Allah. Ilmu hak Allah. Bumi Rusia tu pun hak Allah. Kemana pun kita pergi kita letak Allah dalam hati. Baik ke negara arab, baik ke China, baik ke mana saja, walau kita ke negara komunis sekalipun kalau jiwa kita ni muslim, mukmin, jiwa tu juga yang kita bawa dan hidupkan ditempat baru. Kita salurkan juga Islam tu pada orang-orang sana, InsyaAllah kita selamat. Kita belajar atas sebab Allah suruh". Penulis mendengar bilah nasihat beliau dengan teliti. Biar terus masuk ke hati. Bekal hati sebelum pergi.

Beliau menyambung, "Doktor ni orang pandang, orang dengar bila nasihat. Jadi biar apa yang keluar dari mulut, biar terus bawa orang depan kita tu nak ingat Allah, terus rasa takut pada neraka, terus rasa nak pada syurga. Doktor pun kena pandai politik". Beliau tersenyum dan bangkit dari tangga masjid.

Penulis bersalaman, lantas mengikut beliau dari belakang sehingga ke tangga rumah beliau.

Itu adalah nasihat yang dibekalkan kepada penulis. Nasihat atas tangga masjid.

Sampai sekarang penulis ingat.

Politik

Politik tidak boleh disempitkan hanya kepada ahli politik.

Ahli falsafah terkenal, Plato, menyebut politik sebagai 'the ways in which to create the ideal society'.

Tafsiran penulis, politik adalah satu seni. Seni meletakkan diri dalam masyarakat dan mengajak mereka kepada sesuatu. Politik sebagai wasilah dan matlamatnya, membina masyarakat bertamadun. Spesifiknya, membina akhlaq. Akhlaq atas dasar iman dan taqwa kepada Allah.

Adakah pembinaan masyarakat yang ideal itu hanya bergantung kepada ahli politik?

Tidak. Semua pihak perlu main peranan.

Seni Berpolitik

Antara contoh terbaik, kita lihat bagaimana Rasulullah S.A.W. menangani sikap marah sahabat-sahabat baginda apabila melihat seorang lelaki badwi kencing di satu sudut masjid. Hasilnya kencing tidak jatuh merata dan badwi itu tidak jatuh aibnya. Ia seni mendidik akhlaq.

Jika kita lihat ahli politik, cara berpolitik mereka sangat hebat sehingga berjaya mempengaruhi rakyat mengundi mereka dalam pilihanraya. Mereka bukan memaksa rakyat memilih, tetapi meyakinkan rakyat melalui personaliti, ilmu dan kebolehan menyempurnakan keperluan rakyat. Seteruskan dengan kedudukan yang ada, mereka membuka ruang tarbiyyah seluasnya kepada rakyat dan menutup pintu-pintu kemaksiatan. Ada seni dalam amar ma'ruf nahi mungkar.

Kita lihat politik dalam rumahtangga, suami isteri boleh saling menasihati jika ada toleransi. Seorang ibu lebih berkesan mendidik anak-anak dengan cara lemah lembut dan kasih sayang. Namun pada ayah, berbeza caranya. Perlu ada ketegasan dan rasa kasihan belas. Anak tidak lari, malah makin rasa diperlukan. Seni berkeluarga.

Politik Doktor

Politik adalah tanggungjawab.

Justeru doktor juga harus ada ilmu politik. Politik cara doktor.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Pemerintah adalah pengembala dan bertanggungjawab ke atas gembalaannya, dan suami adalah pengembala di dalam rumahtangganya dan dia akan ditanya tentang gembalaannya"

Doktor mengembala pesakitnya. Sakit fizikal dan sakit rohani perlu doktor rawat. Kalaupun tidak terasa tugas doktor merawat sakit rohani, jangan lupa doktor juga seorang hamba Allah yang mana kewajipannya adalah mengajak manusia untuk meng-Esa-kan Allah,

Mahu jawab apa depan Allah kelak?

Kata Prof. Dr. Muhaya, 'untuk menjadi seorang doktor yang baik, perlulah positif dalam tingkah laku dan konfiden'. Ia sememangnya sifir dalam berpolitk.

Masyarakat sudah sememangnya dekat, tidak perlu dipanggil malah mereka datang kepada doktor. Dari setinggi-tinggi pangkat, hingga yang serendah-rendah golongan. Mereka mengharapkan rawatan. Jadi rawat mereka seluruhnya, rohani dan jasmani.

Beri mereka layanan yang terbaik, ubat terbaik. Bisikkan islam dalam hati pesakit kita. Ia kombinasi terbaik.

Biarpun kita tidak mampu menjamin pulihnya sakit mereka, namun harapan untuk selamat itu ada.

Yang pasti kita mahu selamat dari seksa neraka.

"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept trying when there seemed to be no hope at all" - Dale Carnegie (1888-1955)